Pembayaran royalti, pembalakan dua isu berbeza

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mendengar penerangan daripada pekerja Alam Flora Bahagian Kitar Semula, Azrul Mohamad pada Pelancaran ‘3R On Wheels’ & Kad Mesra di Stesen Minyak Petronas Jalan Kolam Ayer hari ini. Foto: Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkan kerajaan Pas Kelantan bahawa isu pembayaran royalti minyak dan aktiviti pembalakan adalah dua perkara berbeza.

Mohamed Azmin berkata, perkara itu tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk merosakkan alam sekitar dengan meneruskan aktiviti pembalakan.

"Isu pembayaran royalti telah kita nyatakan bahawa kerajaan Persekutuan akan akur kepada peruntukan undang-undang. Tetapi ini soal persekitaran yang kita mahu semua negeri bukan sahaja Kelantan...sementara kita mahu negeri itu dibangunkan tetapi persekitaran mesti dijaga. Itu sahaja.

“Dia tidak boleh, kalau ada kelewatan atau kegagalan pembayaran royalti, maka negeri akan dirosakkan. Ini kita tidak akan benarkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran 3R On Wheels dan Kad Mesra di sini hari ini.

Mohamed Azmin mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada Rabu lepas, yang melaporkan kerajaan negeri itu bersedia menghentikan semua aktiviti pembalakan sekiranya kerajaan Persekutuan dapat menyelesaikan pembayaran royalti minyak seperti dijanjikan sebelum ini.

Mohd Amar berkata, pembayaran royalti minyak dianggarkan RM700 juta setahun itu jauh lebih mencukupi untuk pembangunan Kelantan berbanding RM100 juta setahun hasil daripada aktiviti pembalakan.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan Persekutuan telah pun bersetuju membayar balik royalti petroleum kepada kerajaan Kelantan secara tunai, namun tidak menyatakan bila dan jumlah bayaran tersebut akan dikemukakan. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia