X

Kindly register in order to view this article
!

MTPN sasar disinfeksi 150 premis setiap hari

Sukarelawan MTPN melakukan proses disinfeksi secara percuma di Sekolah Agama Taman Daya, Johor Bahru bagi mencegah penularan Covid-19.
A
A

JOHOR BAHRU - Kempen Jom Cegah Covid-19! anjuran Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) menyasarkan 150 premis untuk disinfeksi secara percuma pada setiap hari yang melibatkan tujuh negeri.

Setiausaha Agung MTPN, Masrudi Abdul Rahman berkata, sehingga kini hampir 3,000 premis perniagaan dan premis kerajaan sudah menjalani proses itu yang dimulakan pada 20 Julai lalu.

"Daripada jumlah tersebut, 1,000 premis disinfeksi di Johor. Selain Johor kita sudah laksanakan kempen tersebut di Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang.

"Proses disinfeksi turut dilakukan di sekolah tadika, tabika kemas, pelbagai jenis sekolah termasuk sekolah agama, rumah kebajikan orang tua dan rumah anak yatim," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, MTPN menjalankan kempen itu secara percuma kerana banyak pihak keberatan melakukannya dengan alasan harga perkhidmatan dikenakan syarikat yang melakukan proses tersebut adalah tinggi.

Katanya, biasanya kos untuk melakukan kerja-kerja disinfeksi antara RM500 hingga RM2,000 bergantung keluasan kawasan jika menggunakan perkhidmatan syarikat yang melakukan proses sanitasi.

"Premis perniagaan akan ditampal pelekat yang membuktikan premis sudah disinfeksi dan selamat dikunjungi pengguna," katanya.

Menurutnya, semua dana yang diperoleh MTPN untuk kempen tersebut disumbangkan ahli-ahlinya selain syarikat swasta dan korporat yang merupakan rakan strategik majlis berkenaan.

Selain itu katanya, 300 buah mesin disinfeksi berserta cecair Tea Tree Oil yang digunakan Kementerian Kesihatan disumbangkan kepada rumah kebajikan orang tua, rumah anak yatim dan sekolah-sekolah yang memerlukan.

"Pihak MTPN amat mengalu-alukan sumbangan mana-mana pihak termasuk orang ramai untuk menjayakan kempen itu di samping membantu mencegah penularan koronavirus (Covid-19).

"Mengikut rekod MTPN lebih 500 rumah kebajikan yang memerlukan mesin disinfeksi tersebut untuk kegunaan harian atau berkala," katanya.

Bagi tujuan mendapatkan khidmat disinfeksi percuma atau berhasrat menghulur sumbangan boleh menghubungi Penolong Setiausaha Bahagian Pengurusan MTPN, Noorman Kamsani menerusi talian 017-7686823.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!