Wujud sebahagian daripada 101 projek rundingan terus di KKR

Datuk Seri Fadillah Yusof
Datuk Seri Fadillah Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya mengesahkan wujud sebahagian daripada 101 projek bernilai RM6.61 bilion membabitkan kementerian itu yang dikatakan diperoleh secara rundingan terus sewaktu pentadbiran lepas, kata menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Memang ada sebahagian daripada projek itu sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH). Ya, saya sahkan,” katanya ringkas kepada media selepas selesai menyerahkan dan merasmikan projek menaik taraf Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Persimpangan Taman Melati, Gombak di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat kelmarin bahawa pentadbiran negara ketika diterajui PH selama 22 bulan, meluluskan 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.

Fadillah berkata, pihaknya masih belum mendapat anggaran sebenar jumlah kos projek berkenaan dan masih lagi menyemak butiran lanjut mengenainya.

Beliau berkata, maklumat awal pihaknya mendapati projek itu bukan diklasifikasikan sebagai ‘special circumstances’ tetapi adalah proses biasa atas permintaan.

“Namun, ada juga projek yang kita teruskan ketika ini setelah melihat kepada asas projek tersebut,” katanya.

Fadillah berkata, pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan terhadap dakwaan pemberian secara rundingan terus itu.

SPRM dilaporkan telah menerima beberapa memorandum daripada badan bukan kerajaan (NGO), berhubung isu berkenaan dan akan mendapatkan senarai 101 projek daripada Kementerian Kewangan yang dikatakan diberi secara runding terus, semasa pentadbiran kerajaan lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: