Rukun Negara dibentuk ambil kira pandangan pelbagai pihak

Kamarul Ariffin Mohamed Yassin (Rukun Negara)
Kamarul Ariffin Mohamed Yassin (Rukun Negara)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rukun Negara diwujudkan dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk melibatkan wakil kaum, parti politik, golongan profesional dan ahli akademik sebagai asas penyatuan dan perpaduan negara.

Menurut Tan Sri Kamarul Ariffin Mohamed Yassin yang dilantik menganggotai Majlis Perundingan Negara (Mapen) pada Januari 1970, suasana getir dihadapi negara berikutan peristiwa 13 Mei 1969 menyebabkan kerajaan perlu mencari satu formula penting untuk menyatukan seluruh masyarakat pada masa itu.

Bekas pengerusi Bank Bumiputera itu yang juga penasihat Undang-Undang kepada Parti Perikatan dan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berkata, majlis rundingan itu ditubuhkan selepas berlaku beberapa insiden.

"Apabila Parlimen digantung dan tidak boleh bersidang akibat suasana kacau-bilau ketika itu, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman bersama Tun Abdul Razak Hussein (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) mencari jalan menyatukan kembali kaum di negara ini antaranya dengan menubuhkan Majlis Perundingan Negara.

“Hasil penubuhan Mapen yang dipengerusikan Tun Abdul Razak maka terlahirlah Rukun Negara,” katanya dalam temu bual untuk dokumentari khas Bernama bertajuk ‘Rukun Negara: A Nation United’ (Rukun Negara: Sebuah Negara Bersatu).

Dokumentari dua episod itu diterbitkan Bernama bersempena dengan ulang tahun ke-50 Rukun Negara yang akan disiarkan antara 31 Ogos sehingga 19 Sept di BernamaTV di Saluran 502 ASTRO, Njoi 502, UnifiTV 631 dan MyFreeView 121, selain laman Facebook rasmi BernamaTV dan saluran YouTube.

Kamarul Ariffin, 86, berkata, antara tokoh yang turut menganggotai Mapen ketika itu adalah Allahyarham Tan Sri Aishah Ghani, Allahyarham Tun Muhammad Ghazali Shafie dan mendiang Profesor Emeritus, Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Peranan Mapen adalah meneliti isu perpaduan bagi mencari jalan menyelesaikan masalah melibatkan pelbagai kaum selain bertindak sebagai penasihat Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang mentadbir negara ketika darurat berikutan peristiwa itu.

Artikel Berkaitan:

“Apabila kita sedar kacau-bilau berlaku pada 1969, kita kena cari formula untuk menyatukan kembali masyarakat berbilang kaum di negara ini. Dari sinilah hadirnya Rukun Negara yang sangat penting bagi menyemai semangat jati diri anak bangsa Malaysia bagi merapatkan semua kaum dan jurang di bandar serta luar bandar,” katanya.

Menjelaskan peranan Rukun Negara, Kamarul Ariffin berkata, ia diwujudkan tanpa membezakan latar belakang kaum dan agama sebaliknya melihat semua adalah sama sebagai rakyat Malaysia.

Beliau berkata, pada masa itu, rakyat yang dalam keadaan terkejut dengan insiden berkenaan cepat menyesuaikan diri untuk bersama-sama mencapai ke arah perpaduan.

“Mereka semakin sedar betapa pentingnya keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat untuk bersama-sama membangunkan negara terutama apabila Rukun Negara yang menjadi asas mencapai perpaduan negara diwujudkan.

“Sewaktu Jepun datang ke Tanah Melayu, mereka mahu semua duduk di bawah satu sekolah. Tapi selepas perang, kita semua kekalkan sekolah mengikut bangsa masing-masing. Jadi, bagaimana kita ingin rapatkan anak bangsa?

“Rukun Negara inilah sebagai penyatuan masyarakat dengan menghayati nilai terkandung di dalamnya agar ia terus difahami meskipun usia negara mencecah ratusan tahun sekalipun dalam mengekalkan keamanan dan perpaduan yang terjalin sejak sekian lama,” katanya dan menambah bahawa semangat patriotisme dan jati diri penting untuk membuktikan diri sebagai rakyat Malaysia.

Kamarul Ariffin yang pernah dilantik sebagai Senator Dewan Negara berkata, setiap lima falsafah dalam Rukun Negara perlu disemai dalam hati setiap rakyat sebagai kunci perpaduan untuk jangka panjang.

Mengambil contoh prinsip pertama dalam Rukun Negara, Kepercayaan Kepada Tuhan, membuktikan negara ini menghormati kepercayaan dan pegangan setiap rakyat dalam mengharmonikan perpaduan yang telah terjalin.

“Hampir semua rakyat Malaysia ada agama, kepercayaan masing-masing. Kerana itu pada pandangan saya ia diletakkan sebagai yang pertama dan kita perlu utamakan prinsip ini dan berbincang semasak-masaknya.

“Adalah penting untuk rakyat Malaysia menghormati semua agama dan ini seterusnya mengharmonikan perpaduan negara. Bukan untuk ketika itu sahaja malah sampai bila-bila perlu dihidupkan kesedaran ini,” katanya.

Selain pernah menceburi bidang korporat, Kamarul Ariffin yang juga penulis dan pengarah filem ‘Yassin’ pada 1988 berkata, persengketaan kaum yang menjadi sejarah penting negara perlu dijadikan sempadan dalam menguruskan keharmonian dan perpaduan masyarakat agar ia tidak berulang kembali.

Tegas beliau, Rukun Negara bukan sekadar simbolik sebaliknya perlu disuburkan dalam kehidupan setiap rakyat Malaysia bagi membangunkan sebuah negara bangsa yang harmoni. - Bernama