Wujudkan industri kerja dari rumah

Rizalman Mokhtar - Foto sumber internet
Rizalman Mokhtar - Foto sumber internet
A
A
A

SHAH ALAM: Kerajaan disyorkan mewujudkan industri kerja dari rumah bagi membantu wanita kelompok berpendapatan rendah (B40) menjana pendapatan apabila ketua keluarga atau suami hilang upaya untuk bekerja.

Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar berkata, kebanyakan kes membabitkan miskin bandar adalah terdiri daripada keluarga yang berdepan pelbagai kekangan untuk keluar bekerja.

Beliau berkata, isu miskin bandar sudah berlanjutan sejak sekian lama namun sehingga kini masih belum ada penyelesaian secara konkrit.

“Sebelum ini, saya pernah mencadangkan supaya satu industri bekerja di rumah dilaksanakan kerana kebanyakan mereka bukan malas tetapi ada kekangan untuk bekerja.

“Ada yang mahu bekerja tetapi suami terlantar sakit, anak-anak pula bersekolah dan mereka hilang pendapatan secara keseluruhan kecuali mendapat bantuan daripada Baitulmal, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sebagainya.

“Jadi, kalau kita ada industri hiliran yang membolehkan mereka bekerja sudah tentu boleh membantu golongan ini. Contohnya, kita ada banyak kilang yang mungkin boleh outsource beberapa perkara yang boleh dibuat di rumah seperi pembungkusan. Jadi kerajaan kena merangka program bersifat sebegini,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) dan Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA) melalui kajian bertajuk Families on the Edge di 16 Projek Perumahan Awam (PPA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur mendapati pendapatan penghuni di kawasan berkenaan terkesan teruk akibat penularan Covid-19.

Kajian UNICEF dan UNFPA itu diketuai oleh Pengarah Urusan DM Analytic Malaysia, Dr Muhammed Abdul Khalid.

Artikel Berkaitan:

Hasil dapatan itu juga mendapati golongan miskin bandar dalam kelompok individu berpendapatan rendah (B40) memilih telur, nasi dan mi segera sebagai menu utama ketika kerajaan melaksanakan siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Rizalman berkata, sudah tiba masanya kerajaan mencari formula baharu membantu golongan miskin untuk jangka masa panjang.

Katanya, kebanyakan program pemberian bantuan makanan dan keperluan harian hanya untuk jangka masa pendek.

“Sudah tiba masanya rakyat golongan B40 dibantu untuk mendapat pekerjaan supaya mereka memperoleh pendapatan secara tetap, kita kena bantu mencari pekerjaan sesuai dengan kemampuan mereka,” katanya.