Penyokong harap MFL sedia alternatif lebih baik

Penyokong harap MFL sedia alternatif lebih baik - Foto: Terengganu Football Club
Penyokong harap MFL sedia alternatif lebih baik - Foto: Terengganu Football Club
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) diharap dapat menyediakan alternatif lebih baik kepada para penyokong untuk menikmati aksi Liga Malaysia (Liga-M) yang bakal bersambung semula Jumaat ini.

Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid berkata, MFL perlu memikirkan kembali untuk turut sama memberikan hak penyiaran kepada stesen televisyen, apatah lagi penyokong juga tidak boleh ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ekoran Covid-19.

“Kami penyokong sebenarnya agak kecewa kerana tidak semua yang boleh melanggan Unifi untuk menonton perlawanan yang akan disiarkan nanti. MFL mungkin boleh mempertimbangkan untuk memberikan hak penyiaran kepada stesen televisyen.

“Dengan cara itu, semua peminat dan penyokong dapat menyaksikan perlawanan bola sepak. Kalau langgan pakej di Unifi kena ada internet lagi. Kalau yang tak ada internet macam di kampung-kampung tu macam mana pula?

“Sebab itu MFL kena kaji balik perkara ini. Kalau tak sempat buat untuk (Liga-M), mungkin mereka boleh pertimbangkan untuk aksi TM Piala Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Dalam pada itu, Presiden Kelab Peminat Bola Sepak Kedah (PBK), Fazli Mansor turut menyokong sekiranya MFL boleh menimbangkan untuk memberikan hak penyiaran kepada saluran televisyen utama.

“Dalam dunia serba canggih ini mungkin ada juga orang tak pandai guna internet dan media sosial. Jadi alternatif paling baik adalah dapat menonton di televisyen.

“Mungkin boleh muat turun aplikasi Unifi itu dalam telefon, tapi takkan lah satu keluarga nak tengok siaran langsung kat telefon tu. Dalam keadaan Covid-19 ini tak boleh pergi stadium, mana lagi tempat yang boleh tengok bola?,” soalnya.

Artikel Berkaitan:

Saingan Liga-M yang bakal bersambung semula Jumaat ini akan dilangsungkan tanpa kehadiran penyokong susulan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan akibat pandemik Covid-19.