OIC sokong tuntutan Palestin

Yusuf Ahmed al-Uthaymeen
Yusuf Ahmed al-Uthaymeen
A
A
A

JEDDAH - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memaklumkan negara anggota mereka tidak akan mengikut jejak langkah Emiriah Arab Bersatu (UAE) menormalkan hubungan dengan Israel sehingga rejim Zionis menamatkan pendudukan ke atas wilayah Palestin termasuk Baitulmaqdis.

Menerusi kenyataan dikeluarkan semalam, Setiausaha Agung OIC, Yusuf Ahmed al-Uthaymeen turut mengetengahkan isu Palestin-Israel sebagai perkara paling utama dan penting bagi mereka.

“Ia adalah konsensus utama kesemua negara anggota yang berusaha untuk menamatkan pendudukan Israel dan membantu penduduk Palestin merealisasikan hak mereka,” ujarnya.

Beliau juga menyifatkan Inisiatif Damai Arab sebagai pilihan strategik dan rujukan umum untuk penyelesaian damai kepada konflik selama beberapa dekad tersebut.

Di bawah inisiatif itu, ia menggesa Israel bersetuju dengan penyelesaian dua negara dan penyelesaian adil terhadap isu pelarian Palestin.

“OIC menyokong segala usaha yang memungkinkan penduduk Palestin menggunakan hak mereka termasuk hak untuk kembali ke wilayah tersebut, menentukan nasib sendiri dan penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat mengikut garis sempadan 4 Jun 1967,” jelasnya lagi.

Al-Uthaymeen juga mengecam langkah sebelah pihak Israel untuk merampas wilayah Palestin termasuk projek peluasan penempatan haram Yahudi yang menjejaskan usaha perdamaian di rantau terbabit.

Pada 13 Ogos lalu, UAE dan rejim Israel mencapai perjanjian damai kontroversi yang mencetuskan bantahan banyak pihak kerana didakwa sebagai satu bentuk pengkhianatan ke atas penduduk Palestin. - Agensi

Artikel Berkaitan: