'Kampung kami sudah ada elektrik'

Simi Segar bersama cucunya menunjukkan televisyen yang baru dibeli sebagai satu cara meraikan kemudahan bekalan elektrik yang diterima penduduk.
Simi Segar bersama cucunya menunjukkan televisyen yang baru dibeli sebagai satu cara meraikan kemudahan bekalan elektrik yang diterima penduduk.
A
A
A

TANJUNG MALIM - "Dua hari lepas saya dah beli televisyen, sekarang simpan duit nak beli peti ais pula," kata Simi Segar, 58, antara penduduk Kampung Sungai Teras, Slim River, di sini yang menerima kemudahan bekalan elektrik bermula Ahad lalu.

Kampung yang didiami 226 penduduk orang asli itu tidak mempunyai bekalan elektrik sejak lebih 20 tahun lalu, namun dengan berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim ini, kerajaan telah membantu mempercepatkan kerja-kerja penyambungan elektrik.

Simi berkata, sebelum ini mereka hanya bergantung kepada generator dan perlu mengutip antara RM4 hingga RM10 bersama beberapa rumah lain untuk menampung kos minyak.

Keadaan itu katanya, menyebabkan kebanyakan rumah penduduk tidak mempunyai televisyen, peti sejuk apatah lagi mesin basuh.

"Saya kumpul duit untuk beli televisyen ini dah lama, dekat setahun dan memang niat saya kalau elektrik masuk saya nak belikan televisyen untuk anak dan cucu saya tengok di rumah.

"Syukur hajat saya terlaksana, lepas ini saya kumpul duit lagi untuk beli peti ais pula, senang orang rumah (isteri) nak beli sayur, ikan dan ayam semua, boleh simpan untuk seminggu terus," katanya.

Kerajaan membantu mempercepatkan kerja-kerja penyambungan elektrik di Kampung Sungai Teras.
Kerajaan membantu mempercepatkan kerja-kerja penyambungan elektrik di Kampung Sungai Teras.

Kegembiraan itu turut dikongsi seorang ibu tunggal kepada empat anak, Ina Yok Kahar, 43, yang teruja mahu memiliki periuk nasi elektrik.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sepanjang tempoh ini, dia hanya memasak menggunakan kayu api sebelum beralih ke dapur gas.

"Senang bila ada bekalan elektrik sendiri, tak perlu kongsi generator lagi. Benda pertama saya mahu beli adalah periuk nasi elektrik dan kalau ada duit lebih nak beli peralatan lain seperti oven (ketuhar) sebab saya suka memasak," katanya.

Rahimi Rosli, 24, pula berkata, kemudahan elektrik itu sangat membantunya melakukan aktiviti harian dan untuk adik-adiknya mengulang kaji pelajaran pada waktu malam.

Gambar dari kiri: Rahimi Rosli, Ina Yok Kahar
Gambar dari kiri: Rahimi Rosli, Ina Yok Kahar

"Kebiasaannya generator akan dimatikan awal sekitar jam 11 malam untuk jimat, jadi mana yang nak sambung buat kerja atau nak buat kerja sekolah tu, susah sikit terpaksa guna lilin atau lampu minyak.

"Sekarang, rumah kami sudah diterangi lampu, kipas pun ada untuk keselesaan semua," katanya.

Kanak-kanak orang asli di Kampung Sungai Teras menunjukkan rumahnya yang sudah dipasang kipas.
Kanak-kanak orang asli di Kampung Sungai Teras menunjukkan rumahnya yang sudah dipasang kipas.

Dalam pada itu, Tok Batin, Kuloh Bah Rinteh, 62, berkata, PRK DUN Slim membawa hikmah kepada penduduk kampung itu apabila masalah yang sekian lama tertangguh dapat diselesaikan.

Katanya, kerja-kerja penyambungan bekalan elektrik dilakukan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak minggu lalu dan bermula Ahad lepas, sebanyak 27 buah rumah di bawah projek Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan premis telah mendapat bekalan elektrik.

"Masih ada 17 lagi rumah belum dibuat penyambungan kerana memerlukan kerja pendawaian baharu termasuklah rumah saya.

"Begitupun saya tetap gembira melihat rumah-rumah anak buah saya (penduduk) terang dengan lampu, ada kipas dan televisyen untuk ditengok, saya sebak dan terharu," katanya.

Kuloh Bah Rinteh
Kuloh Bah Rinteh

Beliau berterima kasih atas usaha media yang melaporkan masalah di kampung itu sehingga mendapat kerpihatinan kerajaan.

"Tidak dilupakan kepada arwah (Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib), sepanjang menjadi wakil rakyat dulu, arwah banyak membantu membangkitkan masalah kami di sini," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan keluhan penduduk kampung orang asli di kawasan itu, selain terputus bekalan air bersih, mereka juga tidak mempunyai kemudahan bekalan elektrik.

Kerja-kerja penyambungan elektrik di kawasan itu sepatutnya siap pada 2018 lalu, namun tertangguh disebabkan perubahan pentadbiran kerajaan.