Misi kontroversi Pompeo ke Asia Barat

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo (kiri) dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. - Foto AFP
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo (kiri) dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. - Foto AFP
A
A
A

MISI lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo ke Asia Barat telah mencetuskan persoalan dalam kalangan pakar diplomatik AS dan anggota Parti Demokrat.

Pompeo berkunjung ke Israel, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Sudan dalam lawatan selama enam hari yang bermula Isnin lalu dan dilakukan secara tiba-tiba.

Lawatan itu menyebabkan dia didakwa menggunakan dasar luar AS untuk menyokong presiden negara itu, Donald Trump bagi mempertahankan jawatan itu bagi penggal kedua.

Trump berucap kepada para perwakilan pada hari pertama Konvesnyen Kebangsaan Parti Republikan pada 24 Ogos lalu di Charlotte, Carolina Utara. - Foto AFP
Trump berucap kepada para perwakilan pada hari pertama Konvesnyen Kebangsaan Parti Republikan pada 24 Ogos lalu di Charlotte, Carolina Utara. - Foto AFP

Dalam kunjungan ke negara-negara itu, Pompeo hanya membawa seorang wartawan berbanding pada kebiasaannya beberapa orang pemberita ketika melakukan lawatan ke luar negara.

Aturcara lawatannya masih tidak teratur dan misi kunjungannya ke negara-negara tersebut juga tidak jelas.

"Komitmen kerajaan AS untuk keamanan, keselamatan dan kestabilan di Israel, Sudan dan dalam kalangan negara Teluk tidak pernah menjadi sekuat ini di bawah kepimpinan Presiden Trump," kata Jabatan Pertahanan yang mengumumkan lawatan tersebut.

Pompeo mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan beberapa pegawai lain dalam kunjungan pertamanya pada Isnin lalu.

Artikel Berkaitan:

Secara rasminya, misi itu adalah sebagai tanda 'meraikan' persetujuan bersejarah antara Israel dengan UAE yang mana Trump menggelarkannya sebagai satu kejayaan dalam pentadbirannya tentang usaha keamanan Asia Barat.

Pihak pentadbiran AS menyatakan keyakinannya bahawa negara-negara Arab lain akan mengikut langkah UAE dengan mengiktiraf negara Israel,

Lawatan berkenaan dilihat bagi meningkatkan tekanan ke atas Bahrain dan Sudan supaya mengikut tindakan negara tersebut yang menjalin hubungan dengan negara Yahudi itu.

Namun, dalam beberapa tinjauan pendapat yang menunjukkan Trump berada di belakang pencabarnya, Joe Biden dalam pilihan raya presiden 3 November ini, para pengkritik berkata, presiden daripada parti Republikan itu menggunakan diplomasi Asia Barat itu sebagai manfaat politiknya.

Calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden kini mendahului Presiden AS, Donald Trump dalam beberapa tinjauan pendapat pilihan raya presiden negara itu. - Foto AFP
Calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden kini mendahului Presiden AS, Donald Trump dalam beberapa tinjauan pendapat pilihan raya presiden negara itu. - Foto AFP

Namun, lawatan Pompeo yang kebetulan berlaku ketika konvesyen parti Republikan berlangsung pada Isnin lalu bagi mengiktiraf Trump sebagai calon rasmi dalam pilihan raya presiden AS telah mencetuskan persoalan daripada pakar-pakar diplomatik dan anggota parti Demokrat.

Semasa lawatannya ke Israel, Pompeo dilaporkan merekodkan ucapannya untuk konvensyen itu yang akan disiarkan pada Selasa lalu.

"Setiausaha-setiausaha negara AS telah lama mengelak untuk mencampurkan diplomatik dengan politik domestik," kata seorang anggota Demokrat, Senator Bob Menendez.

"Melakukan perbuatan itu (mencampurkan diplomatik dengan politik domestik) akan meletakkan satu kekotoran kepada dasar asing negara kita dan proses pilihan raya kita," tambah kenyataannya menerusi Twitter.

Pengarah Majlis Demokratik Yahudi Amerika, Halie Soifer menganggapnya sebagai perbuatan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini dan amat tidak beretika bagi Pompeo berucap kepada konvensyen Republikan ketika dia masih berada dalam satu misi diplomatik.

Menerusi lawatan Pompeo itu, dia berkata: "Trump sekali lagi menggunakan Israel untuk memperoleh markah dalam politik."

Dia merujuk kepada kenyataan Trump pada minggu lalu bahawa presiden AS itu secara kontroversi bertindak memindahkan kedutaan AS di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis hanya untuk menakjubkan golongan konservatif Amerika Kristian iaitu sebuah kumpulan yang kuat menyokongnya.

"Kami memindahkan ibu kota Israel ke Baitulmuqaddis. Itu adalah untuk golongan agama Kristian. Golongan agama Kristian itu lebih teruja mengenai perkara itu berbanding orang Yahudi," kata Trump sebelum ini.

Kakitangan Pompeo tidak membuat sebarang komen tentang kritikan itu.

Sebahagian daripada mereka menyatakan tentang satu undang-undang iaitu Akta Hatch yang melarang para pegawai daripada terlibat dalam politik ketika memegang jawatan sebagai pegawai kerajaan.

Jabatan Negara AS pula berkata, Pompeo memberikan ucapan itu melalui kapasiti peribadinya dan bukan sebagai seorang pegawai kerajaan.

"Tidak ada sumber-sumber Jabatan Negara digunakan. Kakitangan-kakitangan tidak terlibat dalam menyediakan kenyataan atau mengatur kemunculan Setiausaha Pompeo," kata seorang pegawai kepada AFP.

Pegawai itu menambah walaupun jika ia terjadi ketika satu lawatan rasmi dilakukan, Jabatan Negara tidak akan menanggung sebarang kos.

Beberapa pengkritik mengesyaki keseluruhan lawatan itu telah diatur bagi menunjukkannya kepada konvensyen tersebut.

Pada kebiasaannya, seorang setiausaha negara akan muncul secara bersendirian untuk memberi ucapan sokongan kepada seorang presiden yang sedang mempertahankan jawatannya. - AFP