Republikan calonkan Trump untuk bertanding semula

Donald Trump
Donald Trump
A
A
A

CHARLOTTE - Parti Republikan semalam secara rasmi mencalonkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk bertanding semula bagi mengekalkan penggal kedua pentadbirannya di Rumah Putih ketika Konvensyen Kebangsaan Republikan di Charlotte, North Carolina.

Pengumuman itu dibuat selepas Trump didakwa memperoleh undi mencukupi untuk memenangi pencalonan bagi bersaing dengan pencabarnya daripada Parti Demokrat, Joe Biden pada 3 November depan.

Keputusan tinjauan terbaharu menunjukkan Biden, 77, mendahului Trump, 74, yang dijangka bakal menyaksikan persaingan sengit antara kedua-dua calon terbabit.

Ketika berucap pada hari pertama acara itu, Trump terus menyuarakan kebimbangan beliau akan berlaku penipuan undi pada pemilihan tersebut selepas popularitinya semakin menurun akibat kegagalan menangani wabak Covid-19.

Beliau berulang kali menyatakan undi pos bakal meningkatkan risiko penipuan undi memandangkan sebahagian besar pengundi dijangka menunaikan tanggungjawab mereka melalui proses tersebut akibat musim pandemik.

Difahamkan, Trump akan menerima pencalonan Republikan untuk bertanding mewakili parti itu pada malam esok di South Lawn, Rumah Putih yang dikritik Demokrat kerana mendakwa ia sebagai langkah partisan ke atas harta benda awam. - Agensi

Artikel Berkaitan: