X

Kindly register in order to view this article
!

Rakaman audio mesyuarat 1MDB diperdengarkan

Ali Hamsa - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Rakaman audio mesyuarat penyelarasan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 24 Februari 2016 yang dipengerusikan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa diperdengarkan semula di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Rakaman audio berdurasi dua jam 45 minit itu diperdengarkan semula semasa Pengarah Audit Jabatan Audit Negara (JAN), Datuk Nor Salwani Muhammad memberi keterangan.

Saksi kelima pihak pendakwaan itu dipanggil semula untuk memberi keterangan dalam perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang menghadapi pertuduhan meminda laporan akhir audit 1MDB.

Rakaman itu mula diperdengarkan pada jam 2.50 petang dan berakhir pada jam 4.56 petang atas permintaan pihak pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah baki rakaman itu kira-kira 30 minit lagi akan diperdengarkan pada tarikh pendengaran akan datang pada 12 Oktober.

Rakaman audio itu pertama kali diperdengarkan di mahkamah pada 20 November 2019 semasa Ali memberi keterangan sebagai saksi keempat pihak pendakwaan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan, timbalan pendakwa raya, peguam dan Nor Salwani turut merujuk kepada transkrip rakaman itu sambil mendengar audio berkenaan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!