Lebih 90 peratus keluar mengundi awal

Abdul Ghani (tengah) ketika tiba untuk meninjau proses mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim.
Abdul Ghani (tengah) ketika tiba untuk meninjau proses mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Peratusan keluar mengundi awal keseluruhan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim adalah 96.25 peratus.

Laman Twitter Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, jumlah berkenaan mewakili 257 pengundi daripada 267 pengundi awal yang keluar menjalankan tanggungjawab mereka semalam.

Proses pengundian awal berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim bermula jam 8 pagi sehingga jam 5.30 petang itu disaksikan ejen calon serta pemerhati pilihan raya yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain turut disiarkan secara langsung atau 'live streaming' menerusi Facebook SPR.

Sepanjang proses mengundi awal itu, pematuhan kepada garis panduan pencegahan wabak koronavirus (Covid-19) berkuat kuasa seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan serta saringan suhu badan.

Selesai membuang undi, semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap IPD Muallim dan pengiraannya akan dibuat hari pengundian pada 29 Ogos ini di pusat pengiraan undi di bilik menunggu di Majlis Daerah Tanjung Malim.

Turut meninjau pusat pengundian berkenaan ialah Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dan Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan S Santharasekaran.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.

Artikel Berkaitan: