Senarai pemain Piala Thomas, Uber dimuktamad bulan depan

Kenny Goh
Kenny Goh
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) dijangka memuktamadkan senarai penuh skuad ke Piala Thomas dan Piala Uber selewat-lewatnya sebelum pertengahan bulan depan.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, barisan kejurulatihan masih membuat penilaian bagi memastikan mereka yang benar-benar layak diberikan peluang beraksi pada kedua-dua kejohanan berprestij itu.

"Tarikh akhir untuk kita menghantar senarai pemain adalah pada pertengahan September ini dan kita masih ada masa.

"Kita akan mengadakan kem motivasi (di Pulau Tioman, Pahang pada awal September ini) sebelum menghadapi Piala Thomas dan Piala Uber," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa kerja bersama wakil Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kenny memaklumkan badan induk itu akan mengadakan ujian saringan Covid-19 sebelum skuad negara berlepas dan setibanya di Denmark nanti bagi memastikan pemain negara bebas daripada ancaman pandemik berkenaan.

Dalam pada itu, Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata, pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia sudah turun menjalani latihan ringan sejak beberapa minggu lepas walaupun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan otot belakang yang dialaminya ketika menyertai Kejohanan Jemputan BAM baru-baru ini.

Beliau turut yakin pemain berusia 22 tahun itu akan pulih sepenuhnya bagi menghadapi saingan Piala Thomas pada Oktober depan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama musuh tradisi, Indonesia yang merupakan juara 13 kali, selain Belanda dan England pada kejohanan Piala Thomas yang dijadual berlangsung dari 3 hingga 11 Oktober di Aarhus, Denmark.

Artikel Berkaitan:

Skuad wanita negara pula berdepan tugas sukar apabila diundi dalam Kumpulan B, bersama Korea Selatan, Indonesia dan Australia.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke peringkat suku akhir.

Malaysia pernah memenangi Piala Thomas sebanyak lima kali - 1949, 1952, 1955, 1967 dan 1992, manakala skuad wanita masih belum meraih sebarang kejuaraan pada saingan Piala Uber sejak diperkenalkan pada 1957 di England.