PGA rampas wang tunai RM343,700

PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa merampas wang tunai berjumlah RM343,700 dalam serbuan di hadapan sebuah stesen minyak di Rantau Panjang. Bungkusan plastik hitam berisi wang ditemui di bawah ruangan tempat duduk motosikal.
PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa merampas wang tunai berjumlah RM343,700 dalam serbuan di hadapan sebuah stesen minyak di Rantau Panjang. Bungkusan plastik hitam berisi wang ditemui di bawah ruangan tempat duduk motosikal.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa merampas wang tunai berjumlah RM343,700 dalam serbuan di hadapan sebuah stesen minyak di sini semalam.

Serbuan pada jam 7 malam itu turut menahan dua lelaki bagi membantu siasatan.

Pegawai Pemerintan PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa, Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, tindakan bermula pada jam 5 petang selepas menerima aduan.

Menurutnya, sepasukan anggota rondaan rutin melakukan pemerhatian ke atas sebuah treler yang keluar dari Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

"Anggota PGA mengekori treler berkenaan yang berhenti di sebuah stesen minyak dan hasil pemantauan serta pemerhatian selama 15 minit mendapati sebuah motosikal dari arah lampu isyarat telah menghampiri kenderaan itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pemantauan lanjut ke atas kedua-dua suspek mendapati penunggang motosikal telah memasukkan bungkusan plastik hitam ke bawah ruangan tempat duduk motosikal tersebut.

Katanya, anggota PGA kemudian menyerbu kedua-dua suspek dan pemeriksaan mendapati terdapat wang tunai berjumlah RM343,700.

"Kesemua barangan rampasan itu diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDRM) Kelantan untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 dan di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 (AKTA 613).