Polis berjaya kesan dua mangsa dipukul sekumpulan lelaki

Rakaman kejadian pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Jalan Landak, Pudu, Kuala Lumpur yang tular di media sosial.
Rakaman kejadian pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Jalan Landak, Pudu, Kuala Lumpur yang tular di media sosial.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis berjaya mengesan dua mangsa yang dipukul dalam kejadian pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Jalan Landak, Pudu, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, pihaknya berjaya mengesan dua individu itu susulan laporan yang telah dibuat oleh Pusat Kawalan Polis Dang Wangi berhubung pergaduhan berkenaan.

"Namun, setakat ini, kita masih belum menerima laporan daripada mana-mana pihak yang terbabit dalam kejadian itu," katanya melalui kenyataan hari ini.

Mohd Fahmi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan terdapat bunyi bising di lokasi berkenaan pada jam 3.11 pagi.

"Bertindak atas maklumat itu, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi digerakkan ke lokasi.

"Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi, didapati tiada lagi pergaduhan, namun anggota URB membuat pemantauan di situ," katanya.

Beliau berkata, anggota terbabit cuba menghubungi individu yang membuat aduan berkenaan, namun tiada jawapan.

"Kita juga sedang berusaha mengesan suspek yang terbabit. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi tiga minit 51 saat menunjukkan seorang lelaki dipukul beberapa individu menggunakan senjata dipercayai topi keledar di lokasi berkenaan yang tular di media sosial hari ini.

Malah, mangsa juga dilihat diseret dengan rambutnya ditarik oleh kumpulan lelaki berkenaan selain dipukul serta ditendang.