Kerajaan cadang asingkan banduan hukuman berat, ringan

Hamzah (kiri) melihat aktiviti pembuatan roti oleh banduan di Penjara Kajang selepas Majlis Sambutan Hari Penjara ke-230 di Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Kajang hari ini. - Foto Bernama
Hamzah (kiri) melihat aktiviti pembuatan roti oleh banduan di Penjara Kajang selepas Majlis Sambutan Hari Penjara ke-230 di Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Kajang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KAJANG- Kerajaan bercadang melakukan pengasingan penjara antara banduan yang menjalani hukuman berat dan hukuman ringan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, setakat ini terdapat lebih 45,000 banduan di 39 buah penjara ditempatkan dalam penjara yang sama.

"Mengapa tidak ditentukan kelompok banduan yang menjalani hukuman ringan ini supaya tidak diletakkan bersama banduan yang menjalani hukuman berat.

"Ambil contoh mereka ini (banduan kesalahan ringan) ditempatkan di satu kawasan penjara khusus. Adalah lebih mudah untuk kelompok ini diberi bekerja sebagai buruh yang kerajaan boleh aturkan bermacam-macam program," katanya pada sidang media bersempena majlis sambutan Hari Penjara ke-230 di Ibu Pejabat Penjara Kajang di sini hari ini.

Jelas Hamzah, langkah berkenaan juga akan dapat menjimatkan kos perbelanjaan tinggi yang ditanggung kerajaan bagi menguruskan penjara.

Beliau berkata, langkah pengasingan berkenaan antara lain dapat mengurangkan kebarangkalian banduan-banduan ini berinteraksi sesama sendiri sekali gus terpengaruh melakukan kesalahan atau jenayah lain.

"Bagi banduan yang menerima hukuman ringan misalnya mungkin timbul pemikiran tiada bezanya dia ditempatkan bersama banduan yang menjalani hukuman berat jadi kebarangkalian mereka berfikiran untuk melakukan jenayah seperti banduan hukuman berat itu ada," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, pihaknya dalam fasa mempertimbangkan jumlah banduan yang layak menyertai program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL).

Artikel Berkaitan:

"Permohonan daripada banduan ini tinggi namun pihak kami tidak akan sewenang-wenangnya memilih mereka untuk menyertai PBSL kerana ada beberapa kriteria dan tapisan ketat perlu dilalui," katanya.

Program PBSL diperkenal untuk banduan terpilih yang akan dibebaskan selama tujuh hari dengan syarat tertentu sebelum kembali ke penjara tempat mereka ditempatkan bagi menamatkan baki hukuman.

Antara syarat yang ditetapkan adalah banduan itu telah menjalani hukuman tidak kurang daripada empat tahun, mempunyai baki hukuman tidak lebih daripada setahun dan tidak kurang daripada dua bulan serta berada dalam peringkat empat di dalam sistem peringkat progresif di penjara. - Bernama