Bimbang 101 projek disalahguna untuk kepentingan peribadi

Aizat ketika ditemui pemberita perkarangan Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
Aizat ketika ditemui pemberita perkarangan Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pemuda Barisan Nasional (BN) bimbang 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang dikatakan dianugerahkan secara rundingan terus ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini disalahgunakan untuk kepentingan peribadi.

Exco Pemuda UMNO, Aizat Azam yang mewakili Pemuda BN berkata, walaupun beberapa projek dibenarkan secara rundingan terus namun PH dalam manifesto Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) menegaskan bahawa tiada rundingan terus berlaku.

"Apabila PH berjanji tiada projek rundingan terus, kita bimbang kenapa ia masih dilakukan. Adakah ia memberi keuntungan kepada mana-mana pihak yang berkaitan dengan pemimpin PH?" soalnya.

Menurutnya, pihaknya tidak menyangka selama 22 bulan pemerintahan PH, banyak projek rundingan diputuskan.

"Jumlah 101 projek itu terlalu banyak... kalau mungkin 10 atau 20 projek kita boleh faham atas sebab-sebab tertentu PH terpaksa tunaikan," katanya.

Sehubungan itu, Pemuda BN membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya siasatan segera dilakukan.

"Saya buat laporan ini supaya Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng disiasat dan kesemua pelaksanaan 101 projek berkenaan termasuk penerima, pelaksana dan pihak yang meluluskan," katanya ketika ditemui di perkarangan Ibu Pejabat SPRM di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Naib Ketua Pemuda MCA, Yow Toh Gee dan Setiausaha Pemuda MIC, G Theeageesh.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, SPRM perlu tegas dan memberi maklum balas serta perkembangan terbaru siasatan kepada rakyat.

"Kita minta SPRM lebih tegas kali ini," katanya.