Ummah lapor polis isu pendedahan 101 projek runding terus

Mohd Zai (kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.
Mohd Zai (kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gerakan Pembela Ummah Malaysia (Ummah) membuat laporan menggesa pihak polis menyiasat pendedahan 101 projek perolehan RM6.61 bilion ditawarkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) secara rundingan terus.

Pengerusi Ummah, Mohd Zai Mustafa berkata, pihaknya berharap isu tersebut disiasat secara terperinci.

"Pihak berkuasa harus mengambil tindakan yang sewajarnya apabila mendapati tender itu melanggari syarat yang telah ditentukan oleh Kementerian Kewangan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.

Mohd Zai tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada jam 1.30 petang untuk membuat laporan polis berhubung isu itu.

Mohd Zai berkata, satu lagi laporan berhubung isu sama telah dibuat oleh Pemangku Setiausaha Agung Ummah, Khalil Idham Lim di Balai Polis Bagan Serai, Perak pagi tadi.

"Kita juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis ini," katanya.

Beliau menyifatkan pendedahan itu amat mengejutkan bagi seluruh rakyat Malaysia.

"Kerajaan PH ketika menang pilihan raya umum yang lalu menyatakan tidak akan wujud lagi tender-tender secara 'direct negotiation', malah akan mengamalkan tender secara terbuka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Dewan Rakyat gamat selepas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan sebanyak 101 projek membabitkan nilai perolehan RM6.61 bilion secara rundingan terus sepanjang 22 bulan PH mentadbir negara.

Beliau berkata demikian ketika penggulungan Rang Undang-Undang Langkah-langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai jumlah tender secara rundingan terus yang diluluskan ketika PH mentadbir.