Pas tidak pernah rugi dalam kerjasama politik

Tangkap layar akaun Twitter Abdul Hadi hari ini.
Tangkap layar akaun Twitter Abdul Hadi hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pas tidak pernah rugi dalam menjalinkan kerjasama politik sejak dahulu dan berharap kerjasama parti itu dalam Muafakat Nasional dapat memberikan manfaat kepada rakyat dan negara.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sejak 1950-an, Pas bekerjasama dengan Parti Negara dan parti berkenaan berjaya menawan Terengganu terlebih dahulu dan kemudiannya negeri Kelantan.

“Di Terengganu (Pas jalin) kerjasama dengan Parti Negara, Pas dapat 15 kerusi, Parti Negara dapat empat kerusi dan UMNO dapat enam kerusi. Pas beri kerusi Parlimen Kuala Terengganu Selatan kepada Datuk Onn Jaafar (Parti Negara).

“Datuk Onn kalah bertanding di Johor, jadi Ahli Parlimen Kuala Terengganu Selatan. Pas bagi kepada Datuk Onn, Pas tidak rugi. Pas menyelamatkan tokoh negara yang besar.

“Datuk Onn jadi ahli Parlimen sehingga meninggal dunia. Pengundi Johor tak terima dia, Pas terima dia. Pas tak rugi walaupun (calon pilihan raya) bukan daripada parti kita, yang penting pimpinan orang Melayu.

“Kemudian kerjasama selepas 13 Mei. Pada 1973, Pas sertai kerajaan campuran dan kita berjaya membangkitkan kefahaman Islam di semua institusi, di semua lapangan rakyat,” katanya menerusi video wawancara pendek dimuat naik menerusi akaun Twitternya hari ini.

Kata Ahli Parlimen Marang itu, Pas juga berjaya menimbulkan kesedaran Islam walaupun ketika parti itu kalah tetapi Islam berkembang.

“Ini sangat menarik walaupun kita tak berjaya melaksanakan Islam pada peringkat kerajaan kerana kelemahan yang berlaku, namun apabila kita menang Pilihan Raya Umum (PRU) 1990 di Kelantan, kita jalin kerjasama dengan Semangat 46 (Parti Melayu Semangat 46).

Artikel Berkaitan:

“Kita berjaya meningkat pada PRU 1999 sehingga (meraih) 27 kerusi Parlimen dan bertahan di Kelantan, kita ambil Terengganu. Itu kerjasama dengan PKR dan DAP. Kedah hampir kita nak menang ketika itu.

“Pada 2008, kita memimpin Kedah dan Perak walaupun kita minoriti di Perak, Pas tidak rugi. Sebab itu (sebarang) kerjasama ini tidak merugikan kita,” katanya.

Tambahnya, apa yang penting bukan kepada Pas sahaja, sebaliknya orang Melayu dan rakyat dan diharapkan Muafakat Nasional lebih memberi manfaat kepada rakyat dan negara dengan menunjukkan kepemimpinan berintegriti.