Pelantikan Speaker DUN Kedah ikut undang-undang

Muhammad Sanusi pada sidang media selepas Sidang DUN Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.
Muhammad Sanusi pada sidang media selepas Sidang DUN Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Juhari Bulat sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah adalah mengikut proses undang-undang ditetapkan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kekosongan jawatan berlaku apabila Datuk Ahmad Kassim meletakkan jawatan itu pada 15 Ogos lalu, manakala Timbalan Speaker, Juhari meletakkan jawatan 23 Ogos lepas.

Katanya, pelantikan jawatan berkenaan dilaksanakan berdasarkan proses undang-undang meskipun berlaku sedikit pertikaian apabila pembangkang menuntut notis makluman peletakan jawatan Speaker.

"Seperti telah diketahui bahawa Seksyen 4 (a) yang dibangkitkan, kerajaan tidak terikat dengan mana-mana peraturan untuk memaklumkan kekosongan.

"Kita sebenarnya telah mendapatkan nasihat daripada Penasihat Undang-undang dan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara dan Menteri Undang-undang di Parlimen dua minggu lepas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas isu pelantikan Speaker Kedah yang mencetuskan kehangatan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman pada sesi pagi tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Juhari dilantik Speaker DUN Kedah

Muhammad Sanusi berkata, beliau bersyukur kerana kerajaan negeri berjaya melaksanakan kehendak undang-undang untuk melantik Speaker dan Timbalan Speaker DUN Kedah.

Artikel Berkaitan:

"Jika di Parlimen memerlukan 14 hari tetapi untuk undang-undang tubuh Kedah hanya memperuntukkan sehari sebelum sekiranya tidak ada pencalonan lain selain calon kerajaan maka calon itulah dipilih.

"Berkaitan dakwaan pembangkang bahawa mereka tidak tahu berlaku kekosongan jawatan agak mustahil disebabkan Speaker lepas adalah daripada komponen pembangkang dan merupakan Ketua Lembaga Displin Parti Keadilan Rakyat (PKR)," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, beliau berterima kasih kepada bekas Speaker DUN Kedah yang melaksanakan tangggungjawab yang baik sepanjang 22 bulan menjalankan tugas sebelum ini.

Sementara itu, ADUN Jitra, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, beliau sedikit kecewa dengan keadaan yang berlaku, yang tidak mengikut peraturan DUN Kedah.

"Jika boleh notis (memaklumkan kekosongan jawatan Speaker) diberi awal sehari. Jika pembangkang mencadangkan nama pun, kita mungkin kalah.

"Saya agak kecewa kerana tidak betul dan tidak menepati. Perjalanan sidang dewan berlangsung dengan sedikit cara yang tidak sepatutnya," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan ADUN Ayer Hangat, Juhari Bulat dilantik sebagai Speaker DUN Kedah yang baharu, manakala ADUN Pantai Merdeka, Ahmad Fadzli Hashim dilantik sebagai Timbalan Speaker.

Bagaimanapun, pelantikan Speaker DUN mencetuskan perdebatan antara pembangkang dan wakil kerajaan yang didakwa tidak mengikut peraturan DUN Kedah.