Dakwaan Bersatu Jasin hampir lumpuh tidak benar

Mohd Yadzil (duduk, tiga dari kiri) pada sidang akhbar di Jasin hari ini.
Mohd Yadzil (duduk, tiga dari kiri) pada sidang akhbar di Jasin hari ini.
A
A
A

JASIN - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jasin menyangkal dakwaan dibuat bekas ahli parti itu bahawa bahagian itu hampir lumpuh.

Ketua Bahagian Bersatu Jasin, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, tindakan itu sengaja mahu memecah-belahkan parti dengan membuat spekulasi yang tidak benar.

Menurutnya, pihaknya tidak menghalang jika terdapat ahli yang ingin keluar Bersatu dan mahu menyertai parti lain namun jangan cuba memecah-belah dan menjatuhkan parti terutamanya Bersatu Bahagian Jasin dengan cara kotor.

"Sebelum ini mereka diterima dengan cara baik, jadi kami minta yang tidak sehaluan biarlah keluar dengan cara baik," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jelas Mohd Yadzil, pihaknya yakin mereka yang mengambil keputusan meninggalkan parti adalah dalam jumlah yang kecil tidak seperti yang diuar-uarkan sebelum ini dan tiada borang keluar parti diterima sehingga kini.

"Pengakuan individu yang kini menyertai parti baharu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendakwa dirinya bekas Ketua Cawangan Kampung Rim juga adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Sementara itu, Armada Bahagian Jasin turut menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan oleh bekas ahli parti itu yang kononnya kehadiran perwakilan Armada Jasin tidak sampai 1/3 pada mesyuarat bahagian Armada.

Menurutnya, pihaknya sentiasa bergerak aktif dalam menjalankan program-program penambahan ahli di Parlimen Jasin.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai Ketua Armada Bahagian Jasin, saya ingin menjelaskan bahawa peletakan jawatan dan keahlian dibuat kumpulan itu tidak bermakna Bersatu Jasin akan terkubur.

"Armada Bahagian Jasin menyokong penuh kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu, Naib-naib Presiden dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang dipilih baru-baru ini," katanya.

Sabtu lalu, hampir 2,000 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka dari beberapa bahagian termasuk Bersatu Jasin mengumumkan keluar parti kerana tidak menyakini kepimpinan Presiden parti.