X

Kindly register in order to view this article
!

Penoreh getah ceroboh Hutan Simpan Pedu dipenjara sehari

Lai Oon (kiri) dan Prajun (dua dari kiri) diiringi penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Kedah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini.
A
A

ALOR SETAR - Dua penoreh getah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini kerana menceroboh hutan simpan kekal kompartmen 51, Hutan Simpan Pedu, Padang Terap tanpa kebenaran sah bagi tujuan pertanian pada tahun lalu.

Hakim Murtazadi Amran menjatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM8,000 kepada Prajun Ipian, 58, dan tertuduh berdepan hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh dipenjara satu hari berikutan melakukan kesalahan berulang iaitu membersih dan membajak di Hutan Simpan Bukit Perangin, Pedu pada tahun lalu dan didenda sebanyak RM3,000 pada tahun 2019.

Anak saudara tertuduh, Lai Oon Chuan, 31, pula dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan tertuduh turut berdepan hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda tersebut.

Melalui fakta kes yang dibacakan dalam bahasa Siam oleh seorang penterjemah, semasa serbuan dilakukan oleh pasukan penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, kedua-duanya telah berada di dalam kawasan hutan simpan bersama tiga bilah parang, satu gergaji tangan dan dua buah motosikal di kompartmen 51, Hutan Simpan Pedu di dalam daerah Padang Terap kira-kira jam 10.30 pagi pada 4 Oktober 2019.

Pemeriksaan terhadap kedua-duanya mendapati bahawa mereka tidak mempunyai dokumen, permit atau kebenaran untuk memasuki atau menjalankan aktiviti di dalam hutan simpan tersebut.

Mereka didakwa di bawah Subseksyen 81(1)(g) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) yang telah diterima pakai di negeri Kedah di bawah Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 81(2)(c) enakmen yang sama dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Dua penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Kedah menunjukkan barang bukti sebelum memasuki Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini.
Dua penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Kedah menunjukkan barang bukti sebelum memasuki Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mason Jaro Lenya Barayan dalam hujahnya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan serius menceroboh tanah hak kerajaan negeri Kedah dan tertuduh pertama telah melakukan kesalahan berulang.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman paling minimum kerana mendakwa hanya memperolehi pendapatan sekitar RM700 hingga RM800 sebulan.

Prajun dalam rayuannya berkata, dia perlu menyara seorang isteri, tiga anak termasuk ibunya berusia 78 tahun manakala Lai Oon menyara dua anaknya.

Mahkamah turut memutuskan tiga bilah parang dan satu gergaji tangan dilucutkan hak manakala dua buah motosikal yang dirampas dikembalikan semula kepada pemiliknya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!