X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD Pentadbiran di Perlis dan Kedah tamat esok

PKPD Pentadbiran di dua buah kampung di Perlis dan empat mukim di Kedah ditamatkan lebih awal selepas tiada kes positif baharu dikesan. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di dua buah kampung di Perlis dan empat mukim di Kedah akan ditamatkan esok iaitu lebih awal daripada yang dijadualkan pada 31 Ogos, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, keputusan itu diambil selepas tiada kes positif baharu dikesan setelah kesemua penduduk di kawasan terjejas selesai menjalani saringan koronavirus (Covid-19) yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“KKM telah menyaring seramai 1,397 penduduk di Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul serta lebih 7,000 penduduk di Kubang Pasu dan Padang Terap,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan Kedah bercadang menamatkan PKPD Pentadbiran di empat mukim terjejas oleh Kluster Sivagangga lebih awal berikutan tiada lagi kes positif baharu dicatatkan.

Sementara itu, satu lagi kluster di Kedah iaitu Kluster Tawar yang tercetus akibat satu upacara keagamaan pula mencatatkan 65 kes positif setakat Ahad lepas.

Ismail Sabri berkata, walaupun terdapat laporan beberapa kes positif di empat daerah termasuk Baling dan Sik di Kedah melibatkan Kluster Tawar, kerajaan atas nasihat KKM memutuskan PKPD Pentadbiran tidak perlu dilaksanakan.

“Bagaimanapun, kawalan secara bersasar akan dikenakan. Walaupun tidak tutup seluruh kampung atau daerah seperti dicadangkan, kita lakukan kawalan pergerakan secara bersasar. Sebagai contoh ada murid sekolah terlibat, jadi kita tutup sekolah itu dan buat saringan kepada murid sekolah,” katanya.

Pada sidang media sama, Ismail Sabri berkata, bagi tempoh 24 Julai hingga 24 Ogos, seramai 16,651 individu kembali ke Malaysia melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,689 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 67 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di seluruh negara.

"Seramai 56 lagi telah dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Katanya, bagi tempoh sama seramai 8,906 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang ke rumah. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!