Kedah peruntuk RM2.9 juta bantu rakyat terjejas Covid-19

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah memperuntukkan sebanyak RM2.9 juta bagi meringankan beban rakyat yang terjejas akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bantuan itu diagihkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan sejak Mei hingga 9 Ogos lalu.

Menurutnya, bantuan itu dimanfaatkan oleh 9,678 penduduk di negeri ini yang diberikan bantuan secara 'one-off' sebanyak RM300.

“Inisiatif lain termasuk bantuan program Sentuhan Kasih di kawasan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran melibatkan Kluster Sivagangga,” katanya pada sesi soal jawab Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, sebanyak RM49,980 diperuntukkan menerusi program berkenaan membabitkan bantuan makanan asas untuk diagihkan kepada penduduk B40 yang terjejas.

Beliau menjawab soalan Datuk Phahrolrazi Zawawi (Amanah-Alor Mengkudu) yang bertanya mengenai bantuan dan rangsangan ekonomi kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN) Kedah kepada penduduk terjejas akibat Covid-19.

Pada 3 Ogos lalu, kerajaan mengumumkan PKPD Pentadbiran di empat kawasan di Kedah iaitu Mukim Ah, Mukim Hosba dan Mukim Binjal di Kubang Pasu serta Kampung Ulu, Padang Sanai di Padang Terap ekoran penularan Covid-19 yang berpunca daripada Kluster Sivagangga.

Menjawab soalan tambahan Dr Salmee Said (Amanah-Kota Siputeh) mengenai sebahagian penerima belum memperoleh pemberian bantuan berkenaan, Muhammad Sanusi berkata, ia akan dibayar secara tunai melalui pusat khidmat DUN masing-masing berbanding kaedah pembayaran melalui akaun bank sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Kita akan rujuk kepada 700 senarai nama itu yang belum menerima bantuan, malah kita akan tambah bantuan ke 17 kawasan DUN lagi dengan bantuan sama sebanyak RM300 setiap penerima menjadikan jumlah penerima melebihi 9,000 orang,” katanya.