Agihan bendera tiada kaitan kempen politik

Zahidi (kanan) bersama calon BN, Mohd Zaidi Aziz (tengah) ketika menghadiri Kenduri Kampung di Dewan Terbuka Orang Ramai Kuala Slim hari ini.
Zahidi (kanan) bersama calon BN, Mohd Zaidi Aziz (tengah) ketika menghadiri Kenduri Kampung di Dewan Terbuka Orang Ramai Kuala Slim hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Program agihan Jalur Gemilang oleh Jabatan Penerangan ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim berlangsung tidak wajar dijadikan isu politik.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, jabatan itu menjalankan tugas menyalurkan maklumat dan semangat cintakan negara kepada rakyat tanpa mengira musim sama ada sebelum berlangsungnya pilihan raya atau selepas pilihan raya.

"Kebetulan kita datang dalam bulan kemerdekaan, maka kita agihkan bendera dan sudah pastilah itu untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan. Tidak kiralah ada pilihan raya atau tidak, semangat cintakan negara tetap perlu disebarkan.

"Dalam hal ini, pembangkang pun boleh beri bendera, malah sesiapa sahaja boleh beri dan itulah yang sepatutnya dilakukan oleh rakyat Malaysia terutama ketika dalam bulan kemerdekaan ini," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal yang mendakwa Jabatan Penerangan turut menjadi alat politik Barisan Nasional (BN) dalam PRK DUN Slim apabila sumbangan Jalur Gemilang yang diagihkan diberi bersekali dengan bahan kempen calon BN.

Zahidi berkata, dalam PRK sebelum ini pun, mana-mana pelaksanaan program kementerian yang dihadiri menteri atau timbalan menteri, sudah menjadi amalan untuk anggota jabatan dan agensi kerajaan hadir bersama.

Zahidi menyantuni masyarakat orang asli dalam lawatannya ke Kampung Sungai Teras hari ini.
Zahidi menyantuni masyarakat orang asli dalam lawatannya ke Kampung Sungai Teras hari ini.

Bagaimanapun katanya, keadaan itu tidak wajar dijadikan isu politik kerana langsung tidak mempengaruhi undi rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak guna peruntukan atau apa-apa wang yang boleh mempengaruhi undi, lainlah kalau kita turun beri hadiah yang bukan-bukan.

"Itu barulah boleh dikatakan mempengaruhi undi dengan cara tidak betul dan kita sendiri pun tidak akan lakukan perkara sebegitu," katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Padang Besar itu menghadiri Kenduri Kampung di Dewan Terbuka Orang Ramai Kuala Slim dan program santai bersama orang asli di Kampung Sungai Teras di sini.

Sementara itu beliau berkata, usaha untuk menambah baik perkhidmatan jalur lebar di kawasan penempatan orang asli di kawasan DUN Slim akan diberi penekanan serius oleh kerajaan.

Menurutnya, pada masa kini didapati, liputan telekomunikasi di perkampungan masyarakat itu masih lemah.

"Selain isu bekalan elektrik dan air, masalah liputan jalur lebar di penempatan orang asli juga akan dijadikan keutamaan kerajaan yang ada sekarang. Kita akan lakukan penambahbaikan dan pertingkatkan apa yang perlu.

"Kita sudah ada perancangan untuk membina lima lagi menara baharu perkhidmatan 4G, jadi kita lihatkan kawasan mana yang sesuai dicadangkan antaranya termasuklah di sekitar perkampungan orang asli," katanya.