Media tunggak utama keyakinan rakyat

Syamil (kiri), Chang Peng (tengah) dan Gerard pada forum Jazzing Up With The Media pada MBEW 2020 di World Trade Centre, Kuala Lumpur, semalam.
Syamil (kiri), Chang Peng (tengah) dan Gerard pada forum Jazzing Up With The Media pada MBEW 2020 di World Trade Centre, Kuala Lumpur, semalam.
A
A
A

MEDIA mempunyai peranan yang besar sebagai tunggak utama dalam membina keyakinan masyarakat kepada negara secara keseluruhannya, kata Ketua Pegawai Eksekutif NU Ideaktiv Sdn Bhd (NU Ideaktiv), Syamil Fahim Mohamed Fahim.

Menurutnya, media harus bertanggungjawab untuk membina semula keyakinan masyarakat selepas sesuatu isu berlaku selain menjadi platform penyampai maklumat yang tepat, mendidik dan hiburan kepada masyarakat.

Sebagai contoh, beliau berkata, ketika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan koronavirus (Covid-19), kebanyakan media mengadakan kempen untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat.

“Di Sinar Harian, kita banyak membuat kempen seperti #JanganPutusAsaMalaysia dan sebagainya. Media lain juga telah memainkan peranan penting untuk menyokong usaha kerajaan dengan mengadakan kempen yang menggunakan tanda pagar #kitajagakita #stayhome #staysafe.

“Itu sebenarnya fungsi dan tugas utama kita sebagai media dalam membina keyakinan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada forum Jazzing Up With The Media sempena Malaysia Business Events Week (MBEW) yang diadakan di World Trade Centre, Kuala Lumpur semalam.

Forum bertemakan "Rebuilding Confidence” itu dianjurkan hasil inisiatif Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB)

Ia turut disertai oleh Profesor Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Chang Peng Kee dan Penerbit Eksekutif BTV, Bernama, Gerard Ratnam.

Artikel Berkaitan:

Syamil berkata, ketika pelaksanaan PKP, banyak pemain industri pelancongan yang terjejas justeru media harus membina keyakinan masayarakat terhadap industri berkenaan.

“Apa yang media boleh lakukan ialah menggalakkan aktiviti pelancongan di Malaysia dan memberitahu ia selamat kerana masih ada segelintir masyarakat yang takut untuk melancong.

“Jadi media perlu mengembalikan keyakinan kepada orang ramai agar mereka pergi melancong kerana aktiviti ini akan membantu memakmurkan ekonomi tempatan,” katanya.

Sementara itu, Chang Peng berkata, keyakinan masyarakat bukan sahaja terletak pada platform media baharu pada masa turut bergantung kepada kandungan disampaikan.

“Kredibiliti media telah diyakini dan orang ramai kini hanya mahu media tidak menyebarkan berita yang tidak betul.

“Masih ada organisasi media yang memainkan peranan penting sebagai tunggak utama memberikan keyakinan kepada masyarakat dengan pengisiannya,” katanya.

Mengambil contoh Sinar Harian, Chang Peng berkata, walaupun zaman sudah berubah, kandungan akhbar itu tidak menyebelahi mana-mana pihak.

“Saya yakin media yang seimbang adalah media yang melaporkan maklumat daripada kedua-dua belah pihak sama ada kerajaan atau pembangkang.

“Kebijaksanaan pembaca yang membaca laporan dan maklumat seimbang akan membantu mereka untuk membuat keputusan,” katanya.