Padah rompak telefon bimbit RM700

Dua suspek menyamar sebagai anggota polis sebelum melarikan telefon bimbit milik mangsa. - Foto hiasan 123RF
Dua suspek menyamar sebagai anggota polis sebelum melarikan telefon bimbit milik mangsa. - Foto hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua penganggur dipenjara 40 bulan oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku salah dengan niat melakukan rompak berkumpulan terhadap seorang warga Bangladesh Mac lalu.

Hakim Emelia Kaswati Mohd Khalid mengarahkan hukuman itu berjalan serentak terhadap kedua dua tertuduh, Badrul Farez Merican Awaludin Merican, 31, dan Al-Sadeed Vergiano, 39, bermula dari tarikh tangkap pada 24 Mac.

Kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman itu selepas mereka menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan semalam.

Kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama melakukan rompak berkumpulan terhadap Hossain Azad, 21, dengan mengambil sebuah telefon bimbit jenis Oppo model A5 yang bernilai RM700 milik pekerja kedai barangan logam (hardware) itu di hadapan Daikin Cool & Hot Home Appliance Sdn Bhd, Jalan Landak, Dang Wangi di sini pada 5 petang, 24 Mac lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad memohon hukuman sebagai pengajaran dengan mengambil kira keselamatan awam dan mangsa.

Bagaimanapun, Badrul Farez Merican dan Al-Sadeed yang tidak diwakili peguam tidak membuat rayuan.

Mengikut fakta kes pada 24 Mac lalu lebih kurang jam 5 petang, mangsa dihampiri dua lelaki di mana salah seorang memperkenalkan diri sebagai polis ketika berada di hadapan Pudu Plaza Jalan Landak Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Suspek meminta mangsa mengeluarkan pasport sambil seorang lagi menyeluk poket seluar mangsa dan mengambil telefon bimbit jenis Oppo AS 2020 milik mangsa sebelum melarikan diri.

Suspek kemudiannya ditahan pada hari sama sekitar jam 6 petang selepas mangsa melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.