Kerajaan bina takungan air perbanyak sumber bekalan

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan melaksanakan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di empat negeri dalam usaha memperbanyak takungan air di negara ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek TAPS yang dilaksanakan di Melaka, Kedah, Johor dan Negeri Sembilan itu kini berada pada pelbagai peringkat pembinaan.

“Untuk di Melaka kita telah bina dua TAPS membabitkan peruntukan berjumlah RM550 juta, sementara di Langkawi, Kedah, TAPS dibina di Padang Mat Sirat bernilai RM550 juta.

“Di Johor ialah Sungai Johor yang kita sediakan peruntukan sebanyak RM407 juta yang dijangka siap pada 2025. Untuk makluman di Johor perunding telah dilantik pada 15 Jan.

“Selain itu, di Negeri Sembilan, TAPS Linggi dalam proses pembinaan dan kita jangka siap pada 2025. Sebanyak RM400 juta diperuntukkan,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang mahu tahu usaha kerajaan dalam membina Kolam Takungan Hiliran yang boleh dibuat di kawasan-kawasan menghadapi pencemaran akibat kemarau.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Xavier Jayakumar (PH-Kuala Langat) yang mahu tahu sama ada kerajaan mempunyai perancangan menggunakan air bawah tanah sebagai antara sumber air negara, khususnya di Langkawi, Tuan Ibrahim berkata, kajian terperinci sedang dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata, ini termasuk menangguhkan pembinaan TAPS di Padang Mat Sirat bagi memberi ruang kepada kajian terperinci untuk melihat kemungkinan pembinaan empangan air bawah tanah di Langkawi.

Artikel Berkaitan:

“Kajian (juga bagi melihat) kemungkinan projek pembinaan atau naik taraf ‘bondage storage’ di Padang Saga, Langkawi, Kedah. Untuk kajian ini kerajaan peruntukkan RM1 juta,” katanya.

Menurutnya, kajian selama 15 bulan itu dilaksanakan bermula 20 Mac lepas dan dijangka selesai pada 19 Mac 2021.

“Idea peringkat awal di buat di zaman beliau (Xavier selaku bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli). Pihak kerajaan teruskan agenda ini cuma kita perlu buat kajian terperinci,” katanya. - Bernama