X

Kindly register in order to view this article
!

PSG mahu sambar Suarez

Luis Suarez
A
A

KELAB gergasi Perancis, Paris Saint Germain (PSG) sedia menyambar khidmat Luis Suarez sekiranya Barcelona mahu melepaskan pemain kelahiran Uruguay itu.

Memetik laporan portal berita antarabangsa, PSG sedang mencari pemain penyerang yang mampu berganding dengan Neymar dan Suarez dinilai sebagai calon paling sesuai di posisi tersebut.

"PSG mahu kembali mengandingkan Suarez dengan Neymar yang sebelum ini sempat bermain bersama di Barcelona. Gandingan kedua-dua pemain itu ditambah pula dengan Kylian Mbappe, PSG akan mempunyai gandingan paling digeruni di bahagian serangan.

"Kelab Perancis itu hanya menunggu kata putus mengenai kontrak Suarez di Barcelona sebelum memulakan proses untuk merekrutnya," kata laporan itu.

Terdahulu, Suarez dikatakan tidak tersenarai dalam perancangan jurulatih baharu kelab Catalan itu, Ronald Koeman yang sedang merombak pasukan bagi mengharungi saingan musim depan.

Selain PSG, beberapa kelab dari Liga Perdana Inggeris dan Serie A juga dilaporkan tertarik dengan Suarez, malah kelab lamanya Ajax Amsterdam sudah mengemukakan tawaran untuknya namun sudah ditolak pemain itu.

Sejak berpindah ke Barcelona dari Liverpool pada 2014, Suarez menjadi pemain penting dan menjadi penjaring gol ketiga terbanyak dalam sejarah kelab tersebut dengan 198 gol.

Dalam pada itu, laporan tersebut juga menyebut kemungkinan bintang Barcelona, Lionel Messi akan turut meninggalkan kelab sekiranya Suarez ditamatkan kontrak.

"Suarez masih mempunyai kontrak sehingga tahun depan dan jika Barcelona tidak perlukannya lagi, kemungkinan besar Messi juga akan meninggalkan pasukan.

"Mereka (Suarez dan Messi) mempunyai hubungan yang rapat kerana kedua-duanya adalah watak penting dalam pasukan sejak beberapa tahun lalu," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!