X

Kindly register in order to view this article
!

Mekanik didakwa rogol gadis bawah umur

Tertuduh diiringi anggota polis ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan merogol gadis bawah umur pada 8 Ogos lalu.
A
A

BUTTERWORTH - Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja bawah umur.

Tertuduh Muhammad Ammar Zahid Noor Azhar, 19, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Ammar Zahid didakwa merogol remaja perempuan yang ketika itu berusia 17 tahun 4 bulan di sebuah rumah di Kampung Permatang Sungai Dua pada 8 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lim Saw Sim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain meletakkan syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa.

Selain itu, Norhayati menetapkan 23 September depan untuk sebutan semula kes berkenaan sementara menunggu laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).