Galakan ceburi sektor 3D

Che Abdullah turut menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Arena Peladang Tapah.
Che Abdullah turut menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Arena Peladang Tapah.
A
A
A

GOPENG - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyediakan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan golongan muda menceburi sektor agromakanan negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan ll, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, program Agropreneur Muda merupakan satu inisiatif kementerian di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) bagi membantu mereka yang mahu terlibat dalam tanaman, ternakan, perikanan, industri makanan dan agro pelancongan.

Menurutnya, Geran Agropreneur Muda (GAM) yang dimulakan sejak tahun 2016 berjaya membantu 6,005 orang agropreneur muda membabitkan nilai RM104.35 juta.

“Kementerian sentiasa memberi sokongan kepada anak muda dengan memberi bantuan dan motivasi untuk mereka menceburi sektor agromakanan yang berjaya memberi pulangan yang lumayan.

“Bidang agromakanan kurang menarik minat anak muda kerana melihat ia sebagai sektor 3D - sukar, kotor dan berbahaya. Namun, sebenarnya sektor ini adalah sumber kekayaan negara,” katanya selepas merasmikan Jelajah Agropreneur Muda Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar Gopeng di sini semalam.

Che Abdullah berkata, sejumlah RM7.63 juta geran telah disalurkan kepada 380 peserta Agropreneur Muda yang mengusahakan tanaman antaranya nanas, fertigasi cili, jagung dan cendawan.

“Bidang perikanan tidak rugi diceburi apabila RM1.2 juta geran disalurkan kepada 61 penternak ikan yang mendapat bantuan pembinaan kolam, makanan ikan, anak benih dan infrastruktur ternakan ikan. Ia termasuk nelayan muda.

“Kementerian turut menyalurkan geran berjumlah RM9.24 juta dalam sektor ternakan. Bantuan ini merangkumi pembinaan kandang, reban serta input ternakan seperti anak lembu, biri-biri, ayam, itik dan sebagainya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, MAFI telah memperuntukkan RM20 juta bagi membangunkan seramai 1,200 orang agropreneur muda tahun ini.

“Bagi Fasa 1, seramai 238 pemohon telah diluluskan GAM dengan nilai RM4.01 juta,” katanya.

Che Abdullah menanam pokok nanas ketika tinjauan mesranya di projek tanaman nanas MD2 yang diusahakan oleh Muhamad Faris (kiri).
Che Abdullah menanam pokok nanas ketika tinjauan mesranya di projek tanaman nanas MD2 yang diusahakan oleh Muhamad Faris (kiri).

GAM menyediakan bantuan berjumlah RM20,000 telah berjaya membantu 1,127 peserta di Perak dengan nilai RM21.27 juta.Pusat pemasaran

Ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Arena Peladang Tapah di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tapah, Che Abdullah memaklumkan, peruntukan sebanyak RM110,000 disalurkan bagi membangunkan arena peladang di bawah program Peningkatan Mobalisasi dan Logistik Bahan Makanan.

“Pembangunan ini bertujuan sebagai pusat pemasaran setempat bagi hasil-hasil pertanian.

“Ia juga mampu memberi peluang perniagaan yang baharu kepada penduduk setempat bagi menjana pendapatan bersama PPK,” katanya yang turut melakukan tinjauan mesra dan melawat projek tanaman nanas MD2 diusahakan Agropreneur Muda, Muhamad Faris Mohd Fozi, 23 di Kampung Kepayang, Simpang Pulai di sini.

Sementara itu, Muhamad Faris berkata, beliau berjaya memperoleh pendapatan antara RM50,000 setahun menerusi sektor pertanian yang diceburinya pada tahun 2018 itu.

“Geran RM20,000 yang baru diterima dapat meringankan beban saya dari segi pembekalan baja dan racun untuk lebih 50,000 pokok nanas jenis MD2 dan crystal honey.

“Jelajah Agropreneur Muda di bawah MAFI telah membantu terutama ketika di awal pembabitan projek ini,” katanya yang turut mendapat bimbingan daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Perak.

Bagi usahawan kerepek Bawang Chips, Ruzaidi Arshad@Azit, 40, GAM yang diterimanya dua tahun lalu menjadi pemangkin utama untuknya mengorak langkah lebih jauh dalam penghasilan kerepek resipi ibunya.

“Bantuan daripada MAFI membolehkan saya menghasilkan 100 peket kerepek bawang setiap kali dihasilkan sekali gus berjaya memenuhi permintaan pelanggan terutama pada musim perayaan.

“Di awal penghasilan saya tidak tahu mengenai GAM sehinggalah PPK memperkenalkannya dan sejak itu saya lebih serius untuk mengusahakan projek ini,” katanya yang memperolehi pendapatan sebanyak RM40,000 setahun.