Impak negatif jangka panjang

Mohd Sadek
Mohd Sadek
A
A
A

PASUKAN Liga Malaysia (Liga-M) yang gagal melengkapkan proses penswastaan dan pelesenan mengikut tarikh ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) secara tidak langsung memberi impak negatif kepada pembangunan akar umbi khususnya komuniti bola sepak pada masa depan.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa, sikap sambil lewa segelintir pengurusan tertinggi pasukan Liga-M dalam mempercepatkan proses penswastaan dan pelesenan seperti diarahkan FAM sepatutnya tidak berlaku ketika ini.

“Kita kena ingat jika pasukan negeri diturunkan ke saingan Liga M3, ia akan memberi impak negatif kepada pembangunan sosial untuk jangka masa panjang khasnya di persekitaran mereka sebelum ini.

“Bayangkan jika pasukan negeri yang mempunyai kekuatan fans based yang besar, secara tiba-tiba diturunkan ke liga amatur. Tidakkah ia sesuatu yang amat merugikan komuniti bola sepak yang menyokong mereka selama ini.

“Pada saya, pasukan-pasukan negeri dalam dua liga utama negara sepatutnya tidak berdepan masalah dalam melengkapkan proses penswastaan dan pelesenan berdasarkan kapasiti yang dimiliki mereka sebelum ini.

“Saya percaya, pasukan negeri sedar untuk beraksi pada saingan di bawah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), mereka perlu berdaftar sebagai kelab dan bukannya entiti persatuan bola sepak (FA) negeri seperti sebelum ini.

“Kini tiba masanya untuk pengurusan tertinggi FA negeri realistik dengan tuntutan iklim bola sepak dunia yang tidak lagi bernaung di bawah status persatuan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pada masa sama, Mohd Sadek menegaskan, penurunan taraf pasukan negeri dari dua divisyen utama negara - CIMB Liga Super dan Liga Premier secara tidak langsung akan menjejaskan sumber perolehan pada masa depan.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin ada FA negeri yang terlepas pandang mengenai perkara itu yang mana soal penajaan selepas pasukan diturunkan divisyen. Jika diturunkan divisyen berkemungkinan mereka tidak lagi mendapat penajaan semewah seperti sebelum ini.

“Mereka juga akan kehilangan dalam penajaan hak penyiaran pasukan yang bertanding dalam dua liga utama tersebut. Begitu juga dengan jualan cenderahati pasukan dan itu semua memberi impak kepada kantung kewangan pasukan,” jelasnya.

Mengenai pasukan berstatus institusi pengajian tinggi (IPT) pula, Mohd Sadek menyarankan supaya pihak pengurusan untuk tidak melibatkan diri dalam kancah bola sepak profesional yang memerlukan perbelanjaan besar setiap musim.

“Bagi pasukan terbabit, tidak perlulah bersaing dalam dua liga teratas negara ini selepas proses penswastaan sebab kita tahu ia akan meningkatkan kos pengurusan sesebuah kelab itu.

“Sebenarnya pasukan IPT itu boleh sahaja memasuki saingan liga bola sepak negara tanpa memerlukan kos tinggi iaitu beraksi dalam liga amatur. Saingan liga amatur juga boleh digunakan setiap pasukan IPT sebagai medan memberikan pendedahan kepada bakat muda masing-masing,” ujarnya.