Dua lagi ahli Geng Alai diburu

Dari kiri: Teh Kim Hee atau Ah Chui, 46, dan Tang Aik Teong atau Ah Chong, 38, diburu polis.
Dari kiri: Teh Kim Hee atau Ah Chui, 46, dan Tang Aik Teong atau Ah Chong, 38, diburu polis.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Polis sedang memburu dua ahli Geng Alai yang disyaki terlibat dalam kes pecah sarang burung, pecah rumah, samun bersenjata dan curi kenderaan sekitar Kedah dan Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, seorang daripadanya dikenali sebagai Teh Kim Hee atau Ah Chui, 46, beralamat di Taman Permai, Padang Temusu, Sungai Petani manakala seorang lagi bernama Tang Aik Teong atau Ah Chong, 38, beralamat di Taman Desa Murni, Sungai Dua, Pulau Pinang atau Taman Mahawangsa, Seberang Jalan Putra, Alor Setar.

Menurutnya, kedua-duanya mempunyai rekod lampau jenayah dan dipercayai terbabit dalam beberapa kes bersama dua ahli geng yang ditahan polis setelah diekori sehingga ke Kawasan Perindustrian Ringan Taman Kempas, pada jam 4 pagi, 12 Ogos lalu.

"Kenderaan yang dinaiki suspek akhirnya terbabas dalam kejadian kejar sehingga dua suspek ditangkap.

"Dua ahli geng yang ditangkap berusia 26 dan 27 tahun ditahan bersama barangan rampasan dipercayai digunakan sebagai peralatan pecah rumah, curi kenderaan dan samun bersenjata.

Adzli (kanan) menunjukkan gambar individu dikehendaki disyaki anggota Geng Alai.
Adzli (kanan) menunjukkan gambar individu dikehendaki disyaki anggota Geng Alai.

"Antaranya empat bilah parang, sebilah gergaji, sarung tangan, lapan batang allen key yang telah diasah tajam, dua rangkai anak kunci, sebuah kereta jenis Nissan Sunny dan sepaket plastik mengandungi serbuk disyaki dadah jenis syabu seberat anggaran 5.48 gram," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda hari ini.

Hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah manakala semakan rekod jenayah menunjukkan terdapat tiga rekod lampau jenayah dan dua kes dadah.

Artikel Berkaitan:

Dengan tumpasnya Geng Alai itu, polis berjaya menyelesaikan enam kes pecah sarang burung, tiga kes pecah rumah, dua samun bersenjata dan satu kes curi kenderaan dalam Daerah Kuala Muda.

Menurut Adzli, modus operandi yang digunakan ahli geng ini mensasarkan rumah yang tiada penghuni dengan cara mengumpil pintu gril serta melarikan kenderaan.

"Bagi kes samun bersenjata, suspek mensasarkan kedai runcit yang sunyi dengan memakai topeng muka dan menakutkan mangsa menggunakan parang sebelum bertindak menyamun," katanya.

Adzli berkata, dua suspek itu akan diserahkan kepada IPD Seberang Prai Utara setelah tamat reman bagi meneruskan siasatan lanjut berhubung kes pecah sarang burung.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana membawa senjata berbahaya, Seksyen 28(i) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana memiliki alat pecah rumah dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) ADB 1952.

Suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan, Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan.