Tiada sesiapa boleh melampaui undang-undang

Mohd Khairuddin Aman Razali
Mohd Khairuddin Aman Razali
A
A
A

SETELAH menerima kritikan dan kecaman, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang ingkar mengikut perintah kuarantin selama 14 hari selepas pulang dari Turki akhirnya dikenakan kompaun RM1,000 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Namun, hukuman denda yang diterima oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus itu tetap menimbulkan rasa tidak puas hati orang ramai, lebih-lebih lagi pemimpin pembangkang.

Mereka mempersoalkan kenapa semua pesalah dihadap ke mahkamah, tetapi Menteri Kabinet pula diberi layanan istimewa dengan membayar kompaun RM1,000 yang diundurkan tarikh.

Pihak kerajaan pula dituduh mengamalkan tindakan pilih kasih apabila seseorang pemimpin yang baru pulang dari luar negara boleh bergerak secara bebas menghadiri sidang Parlimen dan apabila didapati bersalah, hanya dikenakan denda dan bukan dihukum penjara bersama denda.

Mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang diwajibkan Kementerian Kesihatan, semua rakyat Malaysia atau warga asing yang pulang dari luar negara mesti menjalani kuarantin.

Jelas sekali, undang-undang itu mesti dipatuhi oleh semua orang tanpa mengira sesiapa sahaja sama ada rakyat biasa ataupun pemimpin.

Kita masih ingat bagaimana Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali dan Exco Perak, Razman Zakaria, tetap tidak dapat terlepas daripada hukuman kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka masing-masing didenda maksimum RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Gerik kerana bersama beberapa individu menghadiri satu jamuan di Lenggong, Perak pada 18 April lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagi melaksanakan undang-undang yang adil dan telus, pihak kerajaan perlu meyakinkan kepada seluruh rakyat jelata bahawa sesiapa sahaja, sekiranya melakukan sesuatu kesalahan, tidak seorang pun yang terkecuali daripada menerima hukuman melalui proses undang-undang.

Kita sebenarnya terhutang budi atas usaha yang ditunjukkan oleh frontliners untuk mencegah Covid-19 daripada terus merebak.

Agak malang sekali Menteri sendiri pula yang sengaja memperlekehkan pengorbanan petugas-petugas ‘wira-wira tak didendang’ itu.