X

Kindly register in order to view this article
!

Ziyad perlukan aksi kompetitif

Muhammad Ziyad Zolkefli
A
A

BEKAS juara dunia dan jaguh paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli tidak mahu terus berada dalam kedudukan selesa dalam menghadapi temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Meskipun telah mengesahkan penyertaan ke temasya sukan terbesar dunia bagi atlet kurang upaya, atlet lontar peluru negara itu tetap bimbang akan ketiadaan kejohanan antarabangsa dan tempatan susulan penularan pandemik Covid-19 akan memberi kesan buruk kepada prestasi keseluruhannya.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu berharap dapat kembali beraksi secara kompetitif selewat-lewatnya Disember ini dalam misi memperbaiki catatan balingannya menjelang Sukan Paralimpik Tokyo.

"Saya harap dapat sertai satu atau dua kejohanan pada Disember nanti dan berharap ada satu perancangan serta sasaran yang bagus pada tahun depan.

"Memang tiada tekanan kerana saya sudah layak tetapi saya perlukan kejohanan untuk memperbaiki prestasi dan rekod balingan sedia ada," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kepada Atlet Negara Sempena Hari Kebangsaan Ke-63 di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Muhammad Ziyad mengesahkan tempat ke Tokyo selepas merangkul pingat perak dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Dubai, November tahun lalu dengan catatan 17.03 meter (m).

Beliau adalah pemegang rekod dunia kategori itu dengan catatan 17.29m ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London dengan memadam rekod terdahulu,16.84m miliknya yang dilakukan di Sukan Paralimpik Rio.

Mengulas lanjut, Muhammad Ziyad mengakui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak membataskan rutin latihan beliau dan menyebabkan prestasinya menurun secara drastik dalam tempoh itu.

"Tetapi sejak PKP dilonggarkan saya telah memulakan latihan semula dan mendapatkan kembali rentak yang diperlukan untuk pertandingan," jelas atlet berusia 30 tahun itu.

Sukan Paralimpik Tokyo dijadual berlangsung bermula 24 Ogos hingga 5 September 2021.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!