Keharmonian manusia sejagat

No Image Caption
A
A
A

SEJARAH baharu tercatat pada 22 Ogos 2020 ketika satu perjumpaan beberapa NGO Islam telah diadakan di Dewan Karangkraf untuk membicarakan ‘Muafakat NGO Islam Tangani Nasib Ummah’.

Isu ini agak baharu pada pandangan saya kerana isu cabaran terhadap umat Islam global seperti Islamophobia, penjajahan timur dan barat, sekularisme dan Zionisme agak asing bagi pembicaraan NGO Islam secara universal, malah kurang juga dibicarakan dalam persidangan rasmi agensi kerajaan atau institusi tertentu yang mempunyai hubungan dengan pemerintah negara Islam sendiri.

Pujian harus diberikan kepada penganjur rasmi perhimpunan itu kerana nampaknya persiapan bahan perbincangan serta fakta pembicaraan telah dipersembahkan secara baik, yang saya percaya merupakan satu unsur pembuka mata perwakilan dari dalam dan luar negara yang menghadiri perjumpaan bersejarah itu.

Malah, kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang juga merasmi dan memberikan amanah ringkas terhadap perjumpaan itu, amat membanggakan negara kita, terutamanya ketika beliau menyatakan sokongannya.

Isu cabaran dan tekanan terhadap umat Islam dunia, secara langsung atau tidak langsungnya agak lama berlanjutan dalam terang dan senyap. Pihak berkuasa negara Islam sering memejamkan mata dan memekakkan telinga mereka terhadap hal ini, kecuali agenda cabaran dan penjajahan Zionisme yang melanda Palestin.

Namun, isu Palestin itu juga akhirnya menikam diri negara Islam sendiri, apabila ternyata bahawa terdapat negara Islam sendiri yang telah mengambil tindakan tertentu yang menampakkan sokongan terhadap gerakan Zionisme yang telah bertindak merampas bumi Palestin sedikit demi sedikit.

Hal inilah yang sebenarnya perlu difahami oleh NGO Islam seluruh dunia sebagai bahan kajian yang berharga untuk diteliti sejauh manakah gerakan yang terancang dan penuh strategik telah disusun oleh pertubuhan dan negara yang memusuhi Islam.

Perjumpaan ini telah membincangkan unsur-unsur permusuhan terhadap umat Islam, tekanan dan ada ketikanya percubaan untuk menghapuskan amalan agama secara sah, yang tidak mengganggu sebarang ideologi agama lain, dan tata cara perundangan negara atau etika dan adab perhubungan dengan pemeluk agama lain sendiri.

Artikel Berkaitan:

Maka hal inilah sebenarnya yang akan diteruskan pembicaraan dan kajiannya oleh perikatan pertubuhan sukarela Muslim yang mewakili negara Islam dan juga bukan Islam, untuk difahami dengan baik dan adil serta untuk dikesampingkan segala permusuhan umat Islam sendiri terhadap umat lain secara melulu atau tidak berlandaskan ajaran Islam sendiri.Saya percaya dengan dialog dan perbahasan secara ilmiah dan penuh etika yang akan dilakukan antara pertubuhan NGO Islam global ini, maka isu-isu timbal balik antara umat Islam dan umat lainnya akan dapat ditangani dengan baik dan penuh demokratik.

Dalam pertemuan pertama yang telah diadakan pada tarikh tersebut, sekurang-kurangnya satu amanah penting telah diambil oleh perjumpaan itu iaitu umat Islam sendiri haruslah bersedia untuk menghadapi cabaran ini secara yang bertamadun, walau dari mana sekali pun datangnya, iaitu tentang usaha membina kesatuan, kesedaran, pemikiran dan intelektual, kekuatan ekonomi, teknologi, sistem pemerintahan dan pertahanan, juga segala aspek kehidupan lainnya dalam zaman serba canggih ini.

Amatlah diharapkan bahawa usaha murni yang telah mulai diambil dalam perjumpaan penting itu akan dapat diteruskan dengan sebaik-baiknya demi mengharmonikan kehidupan umat Islam sendiri dan perhubungan mereka dengan umat lain dalam dunia yang masih menghadapi tekanan Covid-19 ini.

Malah amatlah diharapkan bahawa semua negara dunia akan menyedari semangat penentangan terhadap Covid-19 ini dapatlah dimanfaatkan untuk membangun dunia dan umat manusia yang lebih harmoni, bersefahaman dan penuh dengan etika kemanusiaan sendiri.

* Profesor Dr Ismail Ibrahim ialah Presiden Majlis Alumni Pelajar Islam Kebangsaan