Pejuang gugat kasta politik?

No Image Caption
A
A
A

WALAUPUN Amerika Syarikat (AS) dikenali sebagai dunia liberal dan bebas berfikir, hakikatnya tidaklah liberal dan bebas berfikir tinggi pun. Budaya politiknya tetap berkasta dua parti politik iaitu Parti Republikan dan Parti Demokrat.

Rakyat masih terkongkong dengan kasta dua parti. Tidak mampu untuk keluar dari kotak kasta itu. Begitu juga Malaysia yang terperangkap dalam kasta Perikatan Nasional (PN) lawan Pakatan Harapan (PH) di mana PN dan PH sebenarnya terdiri daripada parti-parti yang wujud sejak merdeka lagi!

Kalau wujud third force, sudah pasti para Brahmin pengamal kasta dua parti ini sama ada di AS atau di Malaysia akan bagi alasan yang klasik iaitu: “Ini akan memecah-belahkan bangsa dan negara!” Adakah rakyat berminda liberal dan Islamik saling bersekongkol dalam meneruskan kasta dua parti ini?

Liberalis dan Islamis sama-sama berusaha mengekalkan status quo dan warisan politik lama seolah-olah barang yang lama semestinya lebih baik daripada barang baharu. Kononnya parti lama semestinya lebih berpengalaman, lebih beramanah. Kalau isteri tua gaduh dengan isteri muda, yang salah semestinya isteri muda!

Penulis tidak berpihak kepada parti lama atau parti baharu tetapi penulis hanya ingin mencungkil persamaan antara mindset liberalis dan Islamis. Mindset pariah hanya mampu berfikir sama ada pilih parti lama A atau parti lama B umpama sama ada memilih parti Islamik atau parti liberal. Sejauh manakah Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berjaya menerajui perjuangan mengatasi mindset pariah itu?

Mungkin ada yang berhujah bahawa parti Pejuang sebenarnya warisan parti lama juga kerana dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Hujah itu perlu diambil berat oleh Pejuang. Sejauh manakah Pejuang mampu memerdekakan rakyat daripada kasta dua parti adalah bergantung kepada falsafah yang dibawanya dan personaliti-personaliti yang ditonjolkan. Penulis bukan penyokong atau ahli mana-mana parti politik. Penulis menyokong personaliti, bukan parti.

Pejuang mempunyai personaliti-personaliti yang terbukti bersih, beramanah dan tidak korup seperti Dr Maszlee Malik. Tetapi sekadar bersih tidak memadai.

Orang muda

Artikel Berkaitan:

Dr Maszlee terbukti kompeten dalam mentajdidkan sistem pendidikan dan amat menjaga maslahat guru-guru. Guru perlu gembira semasa bekerja. Ini adalah perjuangan Dr Maszlee dan terbukti berhasil.

Persatuan Mahasiswa pula diberi kebebasan dan kuasa yang tidak pernah diberi selama ini. Bahkan usaha Dr Maszlee yang tidak sempat direalisasikan adalah memberi kuasa autonomi kepada profesor untuk membuat penyelidikan tanpa dikawal oleh KPI universiti. Ini sudah tentu melonjakkan kualiti pendidikan kita secara global.

Parti Pejuang perlu didominasikan oleh generasi muda kerana kisah Ashabul Kahfi jelas menunjukkan kesanggupan orang muda untuk melawan penjajahan kasta politik secara serius. Personaliti muda seperti Ustaz (Dr) Abu Hafiz dalam Pejuang sepatutnya ditonjolkan, bahkan diangkat menjadi Ketua Pemuda atau jawatan yang lebih tinggi lagi.

Beliau fasih Melayu, Inggeris dan Arab. Juara debat bahasa Arab di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Fasih falsafah Islam dan barat dan begitu tangkas dalam pentadbiran dan pelaksanaan mana-mana projek. Beliau berjaya menghadapi mana-mana cabaran debat politik walaupun dengan pendebat killer seperti Ustaz Salman Ali.

Pejuang sudah ada personaliti yang memiliki jati diri yang tinggi. Sekarang, sejauh mana Pejuang mampu mentajdidkan minda rakyat bergantung atas sejauh mana personaliti baharu dibina dan ditonjolkan. Pejuang tidak mampu sekadar berdiri atas bahu mereka yang bertongkat.