Sasar bantu pengusaha IKS Muslim

Mohd Farid dan kakitangannya menunjukkan produk yang dijual di Ukhwah Harmony Mart yang terletak di Pusat Niaga Bukit Baru Utama, Melaka.
Mohd Farid dan kakitangannya menunjukkan produk yang dijual di Ukhwah Harmony Mart yang terletak di Pusat Niaga Bukit Baru Utama, Melaka.
A
A
A

PENULARAN koronavirus (Covid-19) di seluruh negara telah memberikan idea kepada seorang usahawan agensi pelancongan untuk menceburi perniagaan produk makanan dengan membuka Ukhwah Harmony Mart.

Kedai yang beroperasi di Pusat Niaga Bukit Baru Utama di Melaka itu nyata memberikan seribu rahmat kepada pengusaha yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Ukhwah Harmoni Travel & Tour Sdn Bhd, Mohd Farid Eshak,34, apabila perniagaan berusia dua bulan itu mendapat sambutan di luar jangkaan.

Menurutnya, wabak yang melanda negara selain pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberikan impak besar kepada perniagaan utamanya sebelum ini.

Tidak mahu bidang perniagaan yang diusahakan terus terjejas, Mohd Farid berkata, beliau mengambil keputusan beralih kepada cabang perniagaan produk makanan menerusi Ukhwah Harmony Mart yang menawarkan lebih 100 makanan termasuk produk sejuk beku, kering dan kerepek.

“Sejak Mac lagi perniagaan agensi pelancongan terjejas dan apa yang saya lakukan ini adalah salah satu insiatif untuk mempertahankan dan menyelamatkan perniagaan dengan menambah cabangnya kepada perniagaan makanan.

“Walaupun Ukhwah Harmony Mart masih baharu namun hikmah penularan Covid-19 ini membolehkan saya memasarkan produk makanan usahawan Muslim dari pelbagai negeri termasuk timur, utara dan selatan tanah air,” katanya kepada Bisnes Sinar.

Cawangan

Mohd Farid berkata, beliau memilih membuka kedai berkenaan kerana sektor makanan merupakan perniagaan yang menguntungkan selain mempunyai prospek yang cerah, lebih-lebih lagi apabila pengusahanya memberi fokus kepada produk makanan halal.

Artikel Berkaitan:

“Kesedaran orang Islam untuk memilih produk halal juga semakin tinggi dan saya yakin usaha ini bukan sahaja sebagai satu ibadah, pada masa sama ia juga dapat membantu pengguna mendapatkan produk halal dengan mudah dan menjimatkan," katanya.

Produk sejuk beku keluaran pengusaha tempatan yang dijual di Ukhwah Harmony Mart.
Produk sejuk beku keluaran pengusaha tempatan yang dijual di Ukhwah Harmony Mart.

Bagi memastikan Ukhwah Harmony Mart terus dikenali, sekali gus memberi kepada penduduk luar bandar, Mohd Farid menyasarkan untuk membuka lima cawangan baharu termasuk di Duyong, Telok Mas dan Jasin pada tahun ini.

Menurutnya, langkah itu bukan sahaja dapat memperluaskan perniagaan diceburi malah secara tidak langsung memudahkan penduduk tempatan mendapatkan pelbagai produk pada harga berpatutan selain menikmati promosi harga istimewa.

Katanya, Ukhwah Harmony Mart juga akan menjadi medium kepada pengusaha makanan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Muslim serta Bumiputera mempromosikan dan memasarkan produk mereka.

Pelancongan

“Kedai ini akan berfungsi sebagai hab untuk menempatkan barangan makanan tradisi, mudah disediakan dan yang paling penting berkualiti daripada pengusaha tempatan dari seluruh negara.

“Jadi, orang ramai yang mahu menikmati keropok lekor atau satar, mereka tak perlu pergi jauh ke Terengganu. Mereka boleh dapatkannya di kedai kami. Begitu juga dengan mereka yang mahu membeli ikan bilis. Tidak perlu pergi sampai ke Pulau Pangkor di Perak kerana kami ada menjualnya,” katanya.

Justeru, jelasnya, beliau akan membuka pendaftaran kepada mereka yang berminat untuk menjadi ejen atau pemborong dengan menawarkan harga yang rendah dan berpatutan selain harga borong kepada mereka yang membuat pembelian dalam kuantiti banyak.

Dalam pada itu, Mohd Farid berkata, pihaknya juga merancang untuk menjadikan Ukhwah Harmony Mart sebagai salah satu lokasi penting kepada pelancong domestik yang datang ke negeri ini untuk membeli cenderahati atau ole-ole berupa produk makanan.

Mohd Farid menunjukkan produk Ikan Bilis Pangkor yang dijual di Ukhwah Harmony Mart.
Mohd Farid menunjukkan produk Ikan Bilis Pangkor yang dijual di Ukhwah Harmony Mart.

Bagi merealiasikan hasrat itu beliau akan berbincang dengan syarikat bas pelancongan mahupun agensi pelancongan lain agar dapat membawa pelancong singgah di Ukhwah Harmony Mart untuk membeli pelbagai produk makanan tanpa meragui status halalnya.

“Insya-ALLAH, ia adalah hasrat kami untuk memperkukuhkan perniagaan ini dan kami yakin cara ini boleh merancakkan lagi sektor pelancongan dan ekonomi Melaka,” katanya yang juga berbesar hati untuk mengundang Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali menyempurnakan majlis perasmian Ukhwah Harmony Mart dalam tempoh terdekat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya meletakkan sasaran keuntungan jualan sebanyak RM25,000 sehari membabitkan lima cawangan yang akan diwujudkan menjelang 2021.

“Memandangkan keuntungan setakat ini ialah RM2,000 sehari, jadi kami menjangkakan ia boleh meningkat lagi selepas kedai ini melengkapkan jualannya dengan pelbagai jenis produk makanan tempatan mengikut negeri.

“Setiap lima cawangan kedai ini dijangka akan memperoleh keuntungan RM5,000 sehari dan kita juga akan terus berterusan mempromosikan Ukhwah Harmony Mart di media sosial,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap, pengguna sentiasa menyokong Ukhwah Harmony Mart yang mengutamakan aspek halal dan kebersihan.

Otak-otak, keropok lekor keju, minuman koko kurma, kopi bali, rempeyek dan tidak ketinggalan plak zikir dan ruqyah adalah antara produk yang terdapat di Ukhwah Harmony Mart.