Tiada kutipan tol Lebuhraya Pan Borneo: Baru Bian

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menandatangani plak ketika merasmikan Tapak Kilometer 0.00 Lebuhraya Pan Borneo Negeri Sarawak Jajaran Telok Melano ke Sematan hari ini. Foto: Bernama
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menandatangani plak ketika merasmikan Tapak Kilometer 0.00 Lebuhraya Pan Borneo Negeri Sarawak Jajaran Telok Melano ke Sematan hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

SEMATAN - Kerajaan persekutuan telah bersetuju tidak akan mengenakan kutipan tol bagi Lebuhraya Pan Borneo, di Sarawak atau Sabah.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata kerajaan baharu pakatan memegang prinsip iaitu mahukan jaringan perhubungan infra yang sama seperti di Semenanjung sesuai dengan aspirasi rakyat Sarawak.

"Saya menyifatkan Projek Pan Borneo ini sebagai satu projek kejuruteraan terhebat di Kepulauan Borneo," katanya pada majlis perasmian jajaran Telok Melano ke Sematan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di sini hari ini.

Jajaran Telok Melano sepanjang 33km itu yang siap sepenuhnya pada 4 Jan 2019 dengan melibatkan kos RM580 juta dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Kilometer 0.00 Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dengan kos keseluruhan RM16.49 bilion, bermula di Teluk Melano dan jajaran berkenaan merentas timur Tempat Lindungan Liar Samunsam.

Baru berkata, kerjasama erat antara kerajaan pusat dan negeri dalam membawa perubahan landskap infra di Sarawak akan terus dilakukan bersama-sama.

Beliau berkata kewujudan jajaran berkenaan membolehkan peluang ekonomi diteroka di kawasan berpotensi terutama dalam sektor ekopelancongan di Telok Melano yang terletak di hujung selatan Sarawak.

Katanya projek Pan Borneo Sarawak itu akan membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan yang turut menjadi pemangkin kepada kemajuan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Artikel Berkaitan:

"Seramai 10,300 anak Sarawak terlibat dengan projek ini secara langsung dan tidak langsung dalam pembinaan seperti kontraktor, perunding, pembekal dan vendor," katanya.

Untuk keseluruhan projek Pan Borneo Sarawak yang dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2021, beliau berkata ia melibatkan pembinaan 115 jambatan, 25 persimpangan bertingkat, tiga kawasan Rehat dan Rawat serta enam hentian.

Beliau turut menyeru kontraktor dan vendor bumiputera yang berkelayakan menyertai tender bagi kerja-kerja pembinaan tersebut.- Bernama