Jangka vaksin Covid-19 seawal suku pertama 2021

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pharmaniaga Bhd menjangkakan vaksin koronavirus (Covid-19) yang sedang menjalani ujian klinikal di India dan China akan berada di Malaysia pada suku pertama atau kedua 2021.

Pemangku Pengarah Urusan Pharmaniaga Bhd, Mohamed Iqbal Abdul Rahman berkata, pembuat vaksin telah mengumumkan untuk mengeluarkan vaksin itu menjelang akhir tahun 2020.

"Justeru, saya berpendapat mereka akan menyediakan untuk peringkat tempatan terlebih dahulu sebelum menawarkannya ke negara-negara lain.

“Jadi, apabila Malaysia menerima vaksin itu, kilang kami bersedia membotolkannya dengan segera,” katanya pada taklimat prestasi kewangan dan pengumuman keputusan bagi suku kedua 2020 syarikat itu di sini semalam.

Mohamed Iqbal yang juga Ketua Pegawai Operasi syarikat itu berkata, vaksin tersebut akan memasuki pasaran selepas menerima kelulusan kerajaan dan memenuhi syarat undang-undang di bawah Agensi Kawal Selia Farmaseutikal Kebangsaan Malaysia (NPRA).

Beliau berkata, syarikat itu menyuntik RM2 juta untuk menggunakan semula kilang suntikan volum kecil (SVI) yang sedia ada di Puchong untuk menjalankan proses pembangunan pembotolan untuk vaksin Covid-19.

“Selepas selesai proses ini, kami akan kembali menjalankan kerja-kerja yang dilakukan sebelum ini,” katanya.

Vaksin Covid-19 dijangka memasuki pasaran Malaysia selepas menerima kelulusan kerajaan dan memenuhi syarat undang-undang di bawah NPRA.
Vaksin Covid-19 dijangka memasuki pasaran Malaysia selepas menerima kelulusan kerajaan dan memenuhi syarat undang-undang di bawah NPRA.

Artikel Berkaitan:

Pharmaniaga mempunyai tujuh kilang di enam lokasi di Malaysia dan sebuah kilang di Bandung, Indonesia.

Bagaimanapun, hanya satu daripada kilang itu iaitu Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd di Puchong yang mempunyai peralatan mencukupi untuk membangunkan vaksin Covid-19.

Mohamed Iqbal berkata, ia adalah kilang yang diluluskan dengan Amalan Perkilangan yang Baik (GMP) dan satu-satunya kilang SVI di Malaysia yang mempunyai GMP daripada Kesatuan Eropah.

“Kapasiti kami adalah kira-kira 10 juta dos setiap bulan untuk bekas 10 dos,” katanya. - Bernama