Peminjam LBNK diberi diskaun, hapus kira cecah RM125,825.56

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Berita baik buat anak Kedah yang juga peminjam Lembaga Biasiswa Negeri Kedah (LBNK) apabila kerajaan negeri memutuskan untuk menghapus kira pinjaman mengikut kategori tertentu.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan itu bakal memanfaatkan keluarga peminjam yang telah meninggal dunia, sakit kronik dan sakit mental termasuk peminjam yang beroleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan akhir.

Menurutnya, jumlah keseluruhan pemberian diskaun dan hapus kira bagi semua kategori mencecah RM125,825.56.

“Bagi kategori peminjam yang meninggal dunia, hilang upaya kekal atau sakit konik, penjamin tidak perlu membayar baki pinjaman tersebut. Bagi tahun ini, hapus kira diberikan kepada seorang peminjam yang meninggal dunia dan seorang lagi peminjam yang hilang upaya kekal, berjumlah RM19,341.73," katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, terdapat senarai pemohon yang meninggal dunia sejak tahun 2005 namun tidak membuat permohonan untuk dihapus kira.

“Tahun ini permohonan baru diterima, termasuk sakit mental dan apabila diperiksa kenapa tiada bayaran, akhirnya kita temui sebab iaitu dia sakit dan tidak dapat dipulihkan menyebabkan ahli lembaga LBNK membuat keputusan untuk hapus kira pinjamannya,” katanya.

Menurutnya, peminjam yang mendapat keputusan cemerlang dengan CGPA 3.75 ke atas pula diberikan biasiswa penuh.

“Terdapat juga permohonan daripada pelajar cemerlang dengan CGPA 3.75 dan atas persetujuan semasa proses membuat pinjaman dahulu, kita luluskan. Peminjam yang ingin membuat hapus kira ini boleh membuat permohonan kepada LBNK dan jika berkelayakan, permohonan itu akan dipertimbangkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sanusi berkata, bagi tahun ini, hanya seorang peminjam diberikan biasiswa penuh, berjumlah RM25,233.83.

“Pelajar cemerlang yang mendapat CGPA 3.5 hingga 3.74 layak menerima diskaun 50 peratus atas baki terkini. Seramai lima peminjam layak diberikan diskaun dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM81,250,” katanya.

Tambanya, sebanyak 10 peratus diskaun akan diberikan kepada peminjam yang membuat penyelesaian penuh baki pinjaman secara sekali gus bermula September ini sehingga 2021.

“Walaupun kelulusan tersebut sepatutnya berkuat kuasa pada 2021, tetapi diawalkan pada tahun ini. Ia meliputi semua peringkat pengajian termasuk yang telah diambil tindakan mahkamah, tertakluk kepada terma dan syarat LBNK,” katanya.