SPRM didesak siasat, dedah butiran projek

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO memandang serius pendedahan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen hari ini mengenai tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menawarkan 101 projek perolehan berjumlah RM6.61bilion secara rundingan terus sepanjang mentadbir negara.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendedahan itu didakwa satu lagi penipuan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang selama ini mendakwa PH mengamalkan 'tender terbuka' sebagaimana janji manifesto PH.

Menurutnya, ia juga merupakan suatu bentuk perompakan kepada harta rakyat.

"Penipuan Guan Eng lebih terserlah apabila Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bangun menyanggah beliau di Dewan Rakyat bahawa 101 projek rundingan terus terbabit tidak pernah dibincangkan di Kabinet.

"Pemuda UMNO dengan ini mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat perkara ini agar sebarang penyelewengan dapat dibongkar buat pengetahuan rakyat.

"Pemuda UMNO juga menggesa pihak kerajaan agar mendedahkan kepada umum senarai 101 projek yang terbabit agar rakyat dapat mengetahui hakikat sebenar rompakan besar sepanjang 22 bulan pemerintahan PH," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Pada sidang Dewan Rakyat hari ini, Tengku Zafrul mendedahkan, berdasarkan rekod yang diperolehnya, sebanyak 101 projek membabitkan nilai RM6.61 bilion dibuat secara rundingan terus ketika PH mentadbir negara.

Menurutnya, projek tersebut diluluskan secara rundingan terus oleh Kementerian Kewangan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika penggulungan Rang Undang-undang Langkah-langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai jumlah tender secara rundingan terus yang diluluskan ketika PH mentadbir.