515 individu ditahan ingkar PKPP

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia menahan 515 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam dan daripada jumlah itu 440 individu telah dikompaun, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 69 individu direman dan enam individu telah dijamin dalam operasi menerusi Task Force Operasi Pematuhan itu.

Katanya, antara kesalahan tertinggi dilaporkan adalah aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal iaitu 252 individu dan aktiviti di dalam kelab malam (205 individu).

"Kesalahan lain termasuk gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar masuk (18), tidak memakai pelitup muka (17), gagal mematuhi arahan kuarantin (dua), premis beroperasi lebih masa (10), premis tanpa lesen (dua), aktiviti perjudian (tujuh) dan gagal lunaskan bayaran kompaun (dua)," katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan PKPP, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, seramai 15,980 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai lalu.

Katanya, mereka ditempatkan di 67 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu dan Labuan.

"Daripada jumlah itu, 7,466 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 55 individu dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 8,459 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang," katanya.

Mereka telah pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata, PDRM turut mengadakan 434 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.

"PDRM turut mengambil tindakan terhadap seorang individu kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di kediaman yang ditetapkan," katanya.- Bernama