Cagamas umum agregat terbitan lebih RM1 bilion

Chung Chee Leong
Chung Chee Leong
A
A
A

CAGAMAS Bhd mengumumkan agregat terbitan RM1.005 bilion yang terdiri daripada Kertas Komersial Konvensional (CCP) enam bulan, CCP tiga bulan dan Kertas Komersial Islam (ICP) tiga bulan.

Dalam kenyataan hari ini, perbadanan gadai janji negara itu berkata, hasil daripada terbitan itu akan digunakan untuk membiayai pembelian pinjaman perumahan dan pembiayaan rumah daripada sistem kewangan.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chung Chee Leong berkata, penguncupan terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 17.1 peratus bagi suku kedua 2020 yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini mencerminkan impak yang tidak pernah berlaku sebelum ini susulan langkah tegas membendung penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

“Anggaran keseluruhan KDNK 2020 turut disemak semula lebih rendah kepada -5.5 peratus daripada -3.5 peratus. Menerusi semakan semula menurun ini, situasi pandemik di daratan dan keupayaan kerajaan menggunakan langkah fiskal untuk merangsang pertumbuhan akan menjadi perkembangan utama bagi hala tuju selanjutnya.

“Ketika pasaran kekal berhati-hati dengan ketidaktentuan pada masa depan, syarikat telah berjaya menetapkan harga terbitan CCP dan ICP secara kompetitif pada 21 masa asas kepada 36 bps, melebihi Sekuriti Kerajaan Malaysia/Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia,” katanya.

Urus niaga itu menandakan langkah terbitan ke-12 syarikat itu bagi tahun ini dan menjadikan terbitan setakat ini berjumlah RM5.22 bilion.

Kertas itu yang akan ditebus dengan nilai nominal penuh mereka pada tempoh matang, merupakan obligasi tanpa cagaran syarikat, kedudukan sama rata antara obligasi tidak bercagar dengan semua obligasi tidak bercagar sedia ada syarikat.

Ia akan disenarai dan didagangkan di bawah Sistem Perdagangan Sekuriti Tanpa Skrip. - Bernama

Artikel Berkaitan: