Tekong warga Indonesia mati ditembak selepas bergelut dengan APMM

Nurul Hizam menunjukkan burung murai yang berjaya dirampas daripada cubaan seludup ke negara jiran selepas sidang akhbar di Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili, Kota Tinggi semalam. Gambar kecil: Bot kedua yang digunakan suspek Indonesia untuk membawa 90 bakul berisi burung Murai Batu dan burung Murai Kampung berjaya dirampas dalam Op Benteng Laut sebelum dibawa ke jeti Zon Maritim Tanjung Sedili, Kota Tinggi, hari ini.
Nurul Hizam menunjukkan burung murai yang berjaya dirampas daripada cubaan seludup ke negara jiran selepas sidang akhbar di Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili, Kota Tinggi semalam. Gambar kecil: Bot kedua yang digunakan suspek Indonesia untuk membawa 90 bakul berisi burung Murai Batu dan burung Murai Kampung berjaya dirampas dalam Op Benteng Laut sebelum dibawa ke jeti Zon Maritim Tanjung Sedili, Kota Tinggi, hari ini.
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang tekong mati terkena tembakan ketika bergelut dengan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas cuba menyeludup burung murai di perairan Tanjung Kelesa, Bandar Penawar dekat sini semalam.

Kejadian berlaku ketika pelaksanaan Op Benteng Laut antara jam 1.30 hingga 2.15 pagi pada kedudukan 2.0 dan 2.1 batu nautika utara Tanjung Kelesa.

Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, anggota APMM menahan sebuah bot fiber yang dilihat mencurigakan dan ketika pemeriksaan terdapat dua lelaki tempatan bersama 90 bakul berisi burung murai batu dan burung murai kampung.

Katanya, ketika itu dua suspek berkenaan menunggu sebuah lagi bot fiber untuk memindahkan burung tersebut sebelum diseludup ke negara jiran.

"Anggota APMM melompat ke dalam bot kedua itu untuk pemeriksaan, tetapi pemandu bot tersebut terus memecut laju dan mengemudi secara berbahaya serta cuba melanggar bot ronda APMM. Dalam usaha memberhentikan bot itu berlaku pergelutan dan tekong bot bertindak agresif.

"Tekong warga Indonesia berusia 40-an itu cuba merampas senjata api anggota penguat kuasa sehingga tercetusnya tembakan dan mengakibatkan lelaki itu terkena tembakan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili di sini semalam.

Beliau berkata, penyeludup tersebut disahkan meninggal dunia oleh petugas Pusat Kesihatan Tanjung Sedili.

Sementara itu, lima suspek berusia antara 40 hingga 62 tahun ditahan selain bot dengan empat enjin 200 kuasa kuda dan sebuah bot satu enjin 40 kuasa kuda bernilai RM290,000 dirampas.

Artikel Berkaitan:

Menurut Nurul Hizam, kedua-dua bot, tahanan warga tempatan dan asing serta rampasan tersebut dibawa ke jeti Zon Maritim Tanjung Sedili.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa suatu pas yang sah serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Jika sabit kesalahan katanya, boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan enam kali sebatan bagi Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Bagi kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 pula katanya, boleh didenda RM20,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

"Bagi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya," katanya.