X

Kindly register in order to view this article
!

Damar hitam pupus 10 tahun ditemui semula

Mohd Ridza menampal tanda nama bagi pokok shorea kuantanensis di Taman Eko-Rimba Lata Tembakah, Hutan Simpan Pelagat, Besut.
A
A

BESUT - Pokok damar hitam siput daun besar atau nama saintifiknya shorea kuantanensis yang dilaporkan pupus 10 tahun lalu ditemui semula di Taman Eko-Rimba Lata Tembakah, Hutan Simpan Pelagat, di sini.

Ketua Pengarah Perhutanan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Datuk Mohd Ridza Awang berkata, pokok spesies sama yang asalnya direkodkan di Hutan Simpan Bukit Goh, Kuantan pada 1936 itu ditemui oleh dua pegawai JPSM, Mohd Nasir Mohd dan Salleh Endut pada 2014.

Katanya, penemuan semula spesies shorea kuantanensis yang kini berusia 76 tahun itu disahkan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan pakar botani dari United Kingdom (UK), Profesor Peter Ashton yang pernah menghasilkan jurnal mengenai spesies itu pada 1978.

"Hasil kajian oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) berdasarkan ciri-ciri morfologi dan analisis komprehensif menggunakan kajian molekular pula mendapati spesies tersebut mempunyai perbezaan ketara dengan genus shorea yang lain.

"Manakala hasil bancian terhadap tiga pokok shorea kuantanensis yang telah ditemui buat masa ini merekodkan pertumbuhan mengikut ukuran diameter paras dada antara 28 sentimeter (cm) hingga 76 cm," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di lokasi penemuan spesies itu, hari ini.

Mohd Ridza (dua, kanan) melihat anak benih pokok damar hitam siput daun besar yang disemai di Taman Eko-Rimba Lata Tembakah, Hutan Simpan Pelagat, Besut.
Mohd Ridza (dua, kanan) melihat anak benih pokok damar hitam siput daun besar yang disemai di Taman Eko-Rimba Lata Tembakah, Hutan Simpan Pelagat, Besut.

Beliau berkata, bagi memastikan kesinambungan spesies itu, JPSM dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) menubuhkan petak hutan yang mempunyai nilai pemuliharaan yang tinggi (HCVF) di hutan simpan berkenaan.

"Penubuhan petak HCVF bagi memastikan spesies ini dapat diurus dan dipulihara secara efektif bagi mengelakkan ia pupus.

"Selain itu kita juga telah menyemai sebanyak 2,000 anak pokok damar hitam siput daun besar ini di Tapak Semaian Bukit Cina, Pasir Akar, Besut dan di Chalok, Setiu. Kita juga telah menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Pahang supaya anak benih ini juga dapat ditanam di kawasan bersesuaian di habitat asal sekitar daerah Kuantan," katanya lagi.

Beliau berkata, buat masa ini terdapat 15 spesies pokok dalam kategori hampir pupus iaitu Shorea, Vatica dan Parashorea.

Sementara itu, ditanya usaha yang akan dilakukan untuk mengkomersialkan tumbuhan itu katanya, kajian lanjut akan dijalankan memandangkan buat masa ini tumpuan utama diberikan bagi pemuliharaan tumbuhan tersebut.

"Buat masa ini tiada kajian khusus dijalankan mengenai kegunaan pokok ini. Apa yang pasti kita di Malaysia mempunyai kekayaan flora dan fauna yang perlu dipelihara untuk masa akan datang.

"Bagi flora sendiri kita mempunyai sekitar 15,000 spesies tumbuhan berbunga. Jadi, menjadi tanggungjawab pihak jabatan untuk memelihara sebaik mungkin tumbuh-tumbuhan yang ada terutama di kawasan hutan simpan kekal.

"Tambahan pula spesies ini dikatakan telah pupus di mana populasinya tidak banyak di Semenanjung dan dipercayai tiada malah tidak direkodkan di tempat lain termasuk di Sabah dan Sarawak," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!