Ibarat nyawa di hujung tanduk

Shafien (dua, kanan) menyambut mesra kunjungan hormat daripada Hussamuddin (dua, kiri) di pejabatnya di IPK di Kota Bharu hari ini.
Shafien (dua, kanan) menyambut mesra kunjungan hormat daripada Hussamuddin (dua, kiri) di pejabatnya di IPK di Kota Bharu hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - "Nyawa kami ibarat berada di hujung tanduk," itu kata Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat ketika mendedahkan ancaman yang dihadapi anggota polis yang bertugas mengawal aktiviti penyeludupan di sempadan negara Malaysia-Thailand.

Menurutnya, modus operandi penyeludup kini semakin licik dan berani bertindak mengancam nyawa pihak berkuasa dengan melepaskan tembakan kerana berang usaha mereka dihalang.

“Kejadian anggota hampir terkena tembakan oleh penyeludup seperti yang berlaku di pangkalan haram Poksu Kamal di Kampung Bendang Besar, Tanah Merah pada Rabu minggu lalu sesuatu yang serius,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima Kunjungan Hormat Pengerusi Lembaga Pengarah Karangkraf merangkap Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini hari ini.

Shafien berkata, cabaran yang dihadapi anggota barisan hadapan di sempadan itu perlu diberi perhatian dan diharapkan langkah menaik taraf penjawatan kontinjen dalam tempoh terdekat dapat meringankan beban yang dihadapi.

“Senario di Kelantan berbeza kerana kedudukannya bersempadan dengan Thailand dan dipisahkan oleh sungai Golok yang berada dalam jarak terlalu hampir dengan tebing,” katanya.

Hussamuddin turut menandatangani buku pelawat sebaik tiba di Pejabat Ketua Polis Kelantan sambil diperhatikan Shafien.
Hussamuddin turut menandatangani buku pelawat sebaik tiba di Pejabat Ketua Polis Kelantan sambil diperhatikan Shafien.

Beliau turut memberitahu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan akibat ancaman koronavirus (Covid-19) secara tidak langsung menurunkan 25 peratus kadar indeks jenayah di Kelantan pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

“Dari tempoh Januari sehingga Julai kes menurun sebanyak 494 daripada 1,979 kes tahun lalu kepada 1,485 kes tahun ini," katanya.

Tambah Shafien, beliau juga sentiasa turun padang memantau keadaan keselamatan di negeri ini bersama ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua polis daerah serta anggota seliaan untuk membanteras jenayah.

Tambah beliau, kepimpinan mesra yang diamalkan dan keprihatinan ketua turun ke lapangan bekerja bersama-sama anggota akan mengurangkan bebanan kerja yang dihadapi kakitangan bawahan.

“Mereka juga memerlukan perhatian dan penghargaan dalam setiap usaha yang dilakukan. Saya tidak mahu anggota bekerja dalam keadaan tekanan tanpa bantuan ketua.

“Sebagai ketua seharusnya berinteraksi baik antara anggota dan bersama-sama berusaha menyelesaikan sesuatu tugas. Ini akan menggalakkan anggota bersedia berkhidmat tanpa mengira waktu,” katanya.