Penjual warga Rohingya dibebas dengan jaminan

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang penjual makanan ringan dan buah-buahan warga Rohingya dibebaskan dengan jaminan selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan rasuah RM7,000 kepada pegawai kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Langkawi pada Julai lepas.

Mohd Shabo Mohd Husin, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap dirinya dibuat di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia bersama seorang individu lain, Noor Kalam Soyut Alam didakwa memberi rasuah wang tunai RM7,000 kepada Pegawai Kanan Penguat Kuasa Maritim Malaysia Kedah/Perlis, Mohd Faizal Ahmad.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut kira-kira jam 1 pagi pada 21 Julai lepas di Restoran Faathirah Tomyam and Seafood di Padang Matsirat, Langkawi sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap penyeludupan masuk seramai 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) Rohingya melalui jalan laut.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tan Sew Ping dan tertuduh diwakili Peguam Badrul Munir Bukhari.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan lelaki itu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin dan melapor diri dua kali sebulan di pejabat SPRM serta menetapkan 27 September depan bagi sebutan semula kes.

Pada 21 Julai lepas, dua lelaki Myanmar yang disyaki cuba merasuah pegawai APMM bagi melepaskan 25 PATI Rohingya yang mendarat di Langkawi dan ditahan oleh SPRM.

Artikel Berkaitan: