Tuchel beri bayangan Messi sertai PSG?

Tuchel (kiri) setelah menerima medal naib juara Liga Juara-Juara selepas perlawanan akhir di Stadium da Luz, Lisbon.
Tuchel (kiri) setelah menerima medal naib juara Liga Juara-Juara selepas perlawanan akhir di Stadium da Luz, Lisbon.
A
A
A

PENGURUS Paris Saint Germain (PSG), Thomas Tuchel mengalukan kehadiran Lionel Messi sekiranya bintang Barcelona itu berhasrat menyertai kem Les Parisiens berkenaan.

Menurut pengendali dari Jerman itu, kehadiran Messi secara tidak langsung akan membantunya membentuk kembali kekuatan juara Ligue 1 berkenaan selepas melabuh tirai saingan Liga Juara-Juara dengan kekalahan kepada Bayern Munich pada perlawanan akhir.

“Messi sangat dialu-alukan menyertai PSG kerana kami kehilangan ramai pemain untuk kempen Liga Juara-Juara ini. Kami kini juga kehilangan khidmat Thiago Silva dan Eric Maxim Choupo-Moting. Jadi kami perlu menggunakan jendela perpindahan pemain sekarang untuk membeli pemain-pemain berkualiti bagi mempertahankan kejuaraan domestik dan mencabar kejuaraan Eropah.

“Saya percaya tidak akan ada pengendali kelab dunia yang akan menolak khidmat permain seperti Messi. Biarpun begitu saya rasa Messi akan mengakhiri kariernya di Barcelona kerana dia adalah Mr Barcelona.

“Apapun kita tidak akan berbincang mengenai perpindahan pemain-pemain pada ketika ini. Sebaliknya akan mengadakan perbincangan dalam tempoh beberapa hari lagi kerana banyak perkara perlu diperhalusi kelab.

“Saingan musim baharu ini lebih mencabar kerana jadual padat tanpa tempoh rehat yang panjang menyebabkan kita perlu membentuk semula kekuatan kelab berganda berbanding musim sebelum ini,” katanya.

Bintang Argentina berusia 33 tahun itu sekali lagi dilaporkan akan meninggalkan Barcelona selepas kelab Catalan berkenaan mengakhiri saingan musim ini tanpa sebarang kejuaraan selepas tewas 8-2 kepada Bayern Munich di suku akhir Liga Juara-Juara.

PSG adalah antara beberapa kelab berpotensi menjadi destinasi pilihan Messi yang bakal menyaksikannya bergandingan semula dengan Neymar.

Artikel Berkaitan:

Malah skuad kendalian Tuchel yang berentap dengan juara Bundesliga itu pada aksi final ternyata masih gagal menyaingi kehebatan anak-anak buah Hans-Dieter Flick apabila tewas 1-0 memperkuatkan lagi faktor khidmat Messi diperlukan bersama kelab Paris itu.

Pada masa sama Tuchel mahu pemain-pemain PSG melupakan kekalahan tipis berkenaan sebaliknya bersedia untuk bangkit pada musim depan.

“Pemain-pemain PSG sekali lagi telah membuktikan bahawa mereka mampu berentap dengan kelab terbaik Eropah pada peringkat ini dengan kombinasi kekuatan mental dan semangat tidak menyerah kalah.

“Sejujurnya saya bangga dengan kekuatan dimiliki pemain-pemain PSG pada final ini, jadi tidak ada apa yang perlu dikecewakan kerana mereka sudah beri yang sehabis baik. Kini adalah masa untuk pandang ke depan,” katanya.