Jabatan Pertanian tidak terlibat kawal harga durian

Durian -Foto Bernama
Durian -Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Pertanian tidak terlibat dalam mengawal harga durian berkualiti dan popular seperti Musang King, Hajah Hasmah dan Beserah di Pahang.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata, harga durian ditentukan oleh peniaga atau penjual berdasarkan permintaan daripada penggemar raja buah itu.

Menurutnya, sebaliknya Jabatan Pertanian hanya berperanan untuk membantu pengusaha durian mengeluarkan hasil yang berkualiti melalui amalan pertanian yang baik sehingga memperoleh persijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dan Skim Pensijilan Organik Malaysia (myOrganic).

"Jadi, penggemar durian yang tidak berkemampuan menikmati rasa durian yang berkualiti boleh beralih kepada durian yang setanding kualitinya iaitu Durian Kampung Premium (DKP).

"Ciri dan rasa DKP tidak jauh berbeza, malah ada yang lebih menarik bergantung kepada citarasa masing-masing. Malah Jabatan Pertanian mewujudkan standard DKP bagi memastikan durian

dapat dikormersialkan dengan lebih meluas," katanya ketika menjawab soalan Sim Chon Siang (PKR-Teruntum) yang ingin tahu sama ada kerajaan mengawal harga durian berikutan permintaan tinggi terutama pada musim durian.

Mohd Soffi berkata, antara ciri DKP ialah buah bertangkai segar, bebas kotoran dan tidak busuk, buahnya berbentuk sempurna, isi krim kuning dan jingga serta ketebalan isi melebihi 10 milimeter.

"Kemanisan isi melebih 25'brix, rasa berlemak dan sedikit pahit serta berat buah melebihi satu kilogram," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan tapak khas sementara untuk peniaga menjual buah bermusim termasuk durian.

Katanya, penyediaan tapak itu bagi mengawal aktiviti penjualan durian tidak berlesen dan peniaga yang ingin menjual buah-buahan di tepi jalan boleh mendapatkan permit sementara.

"Bagaimanapun, pemilihan lokasi yang bersesuaian diambil kira sebelum permit itu diluluskan bagi mencegah aktiviti penjajaan di kawasan yang membahayakan pengguna jalan raya," katanya.